UMNO Pagoh Johor Tolak Bersatu, Mahu Cabar Muhyiddin

- Advertisement -

CYBERJAYA: UMNO Pagoh mengambil pendirian berbeza dengan keputusan parti negeri untuk tidak bertanding di kawasan Parlimen itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata ketua penerangannya Kamarul Ariffin Mohamed.

Dalam mesyuarat bahagiannya semalam, UMNO Pagoh juga memutuskan bertanding dua kerusi negeri dalam kawasan Parlimen itu iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong dan Bukit Pasir.

Keputusan itu membayangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu akan dicabar oleh calon UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Muhyiddin mewakili Parlimen Pagoh selama lapan penggal sejak 1978.

“Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh yang hadir dan bersidang  mesyuarat perwakilan (semalam) mengambil ketetapan dengan pendirian untuk meletakkan wakil UMNO bertanding (di kerusi Parlimen Pagoh) dalam apa jua keadaan,” kata Kamarul Ariffin dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, walaupun Ketua Bahagian UMNO Pagoh Ismail Mohamed meminta bahagian itu menghormati keputusan UMNO Johor bertanding di semua kerusi Parlimen, kecuali Pagoh, mesyuarat perwakilan mempunyai pandangan yang lain.

Katanya, mesyuarat berpandangan kerusi Parlimen Pagoh dan dua DUN di bawahnya adalah kerusi tradisi UMNO bertanding.

Mesyuarat juga mengambil ketetapan sebulat suara menolak sebarang kerjasama politik dengan Bersatu dan mahu usul itu dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi UMNO, katanya.

Kamarul Ariffin berkata ahli-ahli UMNO “merasai kepedihan” berhadapan dengan pemimpin Bersatu yang juga bekas pemimpin UMNO, yang katanya menghina dan bongkak setelah mengalahkan UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Perwakilan berharap Majlis Tertinggi memahami situasi UMNO Pagoh,” katanya.

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor Dr Adham Baba berkata UMNO negeri telah mencadangkan kepada pucuk pimpinan pusat untuk parti itu bertanding di semua kerusi Parlimen di Johor, kecuali Pagoh.

“UMNO Johor sudah beri gambaran kepada pucuk pimpinan. Kita harus beri laluan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk terus bertanding di Pagoh pada PRU15,” katanya, dipetik pada sidang media selepas mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara, semalam.

Dr Adham, yang juga menteri kesihatan berkata, UMNO adalah parti dalam Perikatan Nasional dan pihaknya yakin pakatan ini akan terus diterima rakyat. 

Dalam PRU14, DUN Bukit Kepong dimenangi oleh Dr Sahruddin Jamal dari Bersatu, yang kemudian dilantik menjadi menteri besar. Beliau melepaskan jawatan itu pada hujung Februari tahun lalu selepas UMNO mengambil alih teraju negeri.

DUN Bukit Pasir pula kini diwakili oleh PAS.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat