Dua Mukim Di Kelantan Dikenakan PKPB Mulai Esok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim Peringat dan Mukim Kota di Kota Bharu, Kelantan mulai esok sehingga 17 Jan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPB itu bertujuan membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan bersasar selain mengurangkan pergerakan dalam kalangan penduduk di kedua-dua lokaliti.

“KKM melaporkan terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Kota Bharu. Dua mukim tersebut menyumbang kes tertinggi melibatkan dua kluster utama iaitu Kluster Halban dan Kluster Pintu Geng.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di kedua-dua mukim tersebut,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-292 hari ini.

Beliau turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Daerah Hilir Perak di Perak hari ini, lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 14 Jan.

“Sehingga kini, KKM selesai menjalankan ujian saringan ke atas semua tahanan dan kakitangan. KKM mengesahkan kes positif harian di depot tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard COVID-19, Ismail Sabri berkata 434 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan 422 dikenakan kompaun manakala 12 direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), aktiviti pusat hiburan (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tidak memakai pelitup muka (60) dan lain-lain (empat).

Berkaitan Op Benteng pula, beliau berkata 43 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan semalam manakala lima kenderaan darat dirampas.

Menyentuh kuarantin wajib, katanya sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 96,924 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel serta 16 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,490 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 88,894 individu dibenarkan pulang,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,558FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat