MOSTI sahkan Lynas terus beroperasi tanpa PDF, Ahmad Fayshal lahir kebimbangan risiko radioaktif

KUALA LUMPUR – Jawapan bertulis Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada Ahli Parlimen Machang, Tuan Wan Ahmad Fayshal bin Wan Ahmad Kamal, mengesahkan bahawa operasi Lynas Malaysia diteruskan walaupun kemudahan pelupusan kekal (Permanent Disposal Facility, PDF) masih belum disiapkan sepenuhnya.

Dalam pertanyaannya, Ahmad Fayshal membangkitkan jumlah sisa radioaktif yang dihasilkan Lynas sejak 2012 yang kini melebihi 1.8 juta tan, sedangkan PDF yang diwajibkan sebagai syarat lesen masih mengalami kelewatan ketara. Beliau menegaskan bahawa keadaan ini menimbulkan risiko jangka panjang kepada keselamatan rakyat dan alam sekitar, terutama apabila lesen operasi syarikat itu terus dilanjutkan.

MOSTI dalam jawapannya memaklumkan bahawa kemajuan pembinaan PDF hanya mencapai peringkat pertengahan sehingga Oktober 2025, namun pemantauan sinaran oleh Jabatan Tenaga Atom tidak menunjukkan bacaan melebihi had kawalan.

Kementerian juga menjelaskan bahawa tanggungjawab keseluruhan industri nadir bumi kini terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, termasuk aspek penyelidikan, pengawalseliaan dan pengurusan sisa radioaktif.

Ahmad Fayshal turut menegaskan dalam soalannya bahawa rantaian nilai nadir bumi yang diamalkan ketika ini sangat merugikan Malaysia. Bahan mentah dibawa masuk dari luar negara, teknologi dan keuntungan dikawal syarikat asing, manakala Malaysia menanggung sepenuhnya risiko sisa radioaktif.

Beliau mempersoalkan sama ada syarikat lain dari Amerika Syarikat akan menerima layanan serupa seperti Lynas atau kerajaan akan mula mengenakan piawaian lebih ketat.

Beliau turut menggesa audit bebas antarabangsa ke atas semua operasi Lynas, moratorium sementara sehingga PDF benar-benar siap, serta penstrukturan menyeluruh industri nadir bumi agar Malaysia tidak kekal sebagai pemain risiko tinggi dalam rantaian global.

Beliau menekankan bahawa “Save Malaysia” tidak boleh menjadi sekadar slogan, sebaliknya mesti diterjemahkan dalam dasar yang melindungi kedaulatan alam sekitar dan keselamatan rakyat.

Kontras antara persoalan terperinci yang dibangkitkan Ahmad Fayshal dengan jawapan ringkas MOSTI menimbulkan persoalan baharu mengenai sejauh mana kerajaan bersedia menangani isu Lynas secara menyeluruh.

Pendedahan ini dijangka menghidupkan kembali perbahasan nasional mengenai keselamatan sisa radioaktif, integriti pelaburan asing dan masa depan industri nadir bumi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat