Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Situasi merbahaya di sekitar Lubnan ketika ini tidak menjadi penghalang buat Malaysian Relief Agency (MRA) untuk tetap berusaha menyalurkan bantuan kepada mereka yang menjadi Pelarian Dalam Negara – Internally Displaced People (IDP) kini menjangkau sekitar 1.5 juta hingga 2 juta orang.
MRA dalam kenyataan medianya memaklumkan, Timbalan Presiden 1 MRA, Hj. Khairil Annuar Khalid kini berada di Lubnan bagi menyampaikan sumbangan kepada IDP di sekitar selatan Lubnan dan dalam perjalanan untuk pulang ke tanah air.
Khairil Annuar berkata, ramai yang kehilangan ahli keluarga dan sanak saudara serta rumah akibat bedilan serangan udara Israel yang secara tidak langsung sentiasa meningkatkan jumlah IDP di seluruh Lubnan ketika ini.
Beliau berkata, ketika mereka berada di salah sebuah hotel penginapan di Beirut untuk meneruskan perjalanan pulang, mereka dapat mendengar dengan jelas dron-dron Israel berterbangan dekat dengan kedudukan mereka.
Menurutnya, MRA turut mendapat bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) yang membawa misi selaku Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan dalam mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang menjadi IDP.
Kontinjen MALBATT 850-12 secara keseluruhannya berkekuatan 854 anggota, terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota lain-lain pangkat (LLP) termasuk 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef).
“Secara keseluruhan MRA sudah mengagihkan sebanyak 190 bungkusan makanan dan 110 selimut kepada mereka yang menjadi IDP di Lubnan.
“Pecahan agihan adalah sebanyak 60 bungkusan makanan dan 60 helai kain selimut di Daraiya, 50 bungkusan makanan dan 50 helai selimut diberikan di Kem EI Chamali dan 40 bungkusan makanan di Kem Ein El-Hilweh.
“MRA turut menyerahkan 30 bungkusan makanan dan 30 helai selimut buat anggota MALBATT kita yang berkhidmat di Lubnan,”katanya.
“Mereka yang ingin menyumbang ke Bantuan Kemanusiaan Lubnan, sila hubungi Ibu Pejabat MRA di talian 603-91744672 dan sumbangan juga boleh dibuat ke akaun Maybank 5640 9820 8020 Malaysian Relief Agency Berhad, ”tambahnya.-SUARA.TV