KUALA LUMPUR – Proses pemindahan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di semua negeri yang terjejas banjir selesai sepenuhnya tanpa ada yang tercicir, semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kesemua calon termasuk yang terperangkap sudah diselamatkan oleh pelbagai agensi.
“Alhamdulillah semua calon SPM kita berjaya pindahkan ke tempat selamat iaitu asrama menerusi Op Payung dengan bantuan pelbagai agensi.
“Kesemua calon yang ditempatkan di asrama diberi kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer disediakan.
“Saya berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membantu bertungkus lumus memindahkan calon SPM,” katanya pada sidang media selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas dan beberapa sekolah di Pasir Mas, Kelantan pada Isnin.
Katanya, fasa pertama membabitkan pemindahan pelajar sudah selesai manakala fasa kedua akan diberi tumpuan dari segi emosi pelajar berkenaan yang terjejas banjir.
“Kaunselor juga turut disediakan di asrama bagi pembugaran emosi pelajar,” katanya lapor media di Kelantan.
Dalam perkembangan sama, KPM juga akan mempertimbangkan SPM dianjak ke luar musim tengkujuh.
Fadhlina berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas yang diterima berkait jadual SPM hujung tahun dan berdepan dengan keadaan cuaca hujan serta banjir.
“Kami akan melihat dan mempertimbangkan cadangan terbabit,” katanya.