Rebut juara nyanyi virtual

- Advertisement -

PROGRAM realiti pertama secara dalam talian terbitan syarikat rakaman COF Music iaitu COF LOCKSTAR akan melabuhkan tirai menerusi peringkat akhir pada jam 9 malam ini di saluran YouTube COF Music.

Enam finalis berentap bagi merebut gelaran Juara COF LOCKSTAR, sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 yang mana merangkumi wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.

Pemenang tempat kedua membawa pulang RM5,555 beserta trofi dan tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi. Sementara itu, disediakan juga dua kategori iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.

Enam peserta akhir terdiri daripada Azumi, Jiha Akhir, Ryan Razali, Yusuf Kassim, Zee Rahmat dan kumpulan Banyak Bunyik Republik.

Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim berkata, COF LOCKSTAR yang bermatlamat melahirkan penyanyi baharu yang bersandar pada bakat akhirnya dapat dicapai berdasarkan kualiti enam finalis itu.

“Semua finalis ada kelebihan masing-masing. Malah, mereka juga daripada genre muzik berbeza. Sebagai contoh, macam Zee Rahmat dia ada gaya tersendiri yang mana lebih pada R&B. Kalau Ryan pula rapper. Begitu juga band yang mengetengahkan muzik yang unik. Ketiga-tiga mereka ini memberi persaingan hebat.

“Dari minggu pertama hingga keempat, produksi sudah memberikan pelbagai genre lagu kepada mereka. Jadi, untuk pentas akhir ini finalis akan mempersembahkan satu lagu nyanyian semula atau ‘cover version’ dan satu lagu baharu yang diciptakan khas buat mereka. Untuk ‘final’ ini, kami sudah rakam persembahan dengan iringan ‘live band’. Kami nak tahu sejauh mana kemampuan mereka membuat persembahan secara ‘live band’. Komen juri dan keputusan saja dibuat secara langsung.

“Berdasarkan persembahan sepanjang empat minggu lalu sehingga layak ke pentas akhir, saya berasakan mereka sudah bersedia untuk masuk ke pasaran muzik tempatan. Semua finalis ini ada kelebihan mereka jika masuk industri dan kami sudah nampak hala tuju muzik mereka nanti. Pendek kata, mereka ada potensi besar untuk menyerlah. Mereka antara daripada 2,000 peserta yang hebat. Sebagai label perlu ketengahkan bakat mereka untuk jadi pelapis dalam industri,” katanya.

 

PENGACARA dan barisan juri COF LOCKSTAR.
PENGACARA dan barisan juri COF LOCKSTAR.

 

Aman berkata, single baharu yang dipersembahkan pada peringkat akhir bakal dirakamkan semula dalam versi studio bagi tujuan pasaran komersial dan promosi.

“Lagu baharu yang dinyanyikan pada pentas akhir adalah single mereka. Untuk pasaran komersial dan promosi pula akan dirakam lain. Sebab untuk pentas akhir ini saja, mereka menyanyikannya secara langsung dengan band. Mereka bertuah apabila ‘live band’ diiringi beberapa individu hebat dalam bidang muzik dan mendapat kerjasama baik.

“Setakat ini, kami masih kekal dengan perancangan untuk menjadikan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga sebagai artis COF Music. Untuk yang lain pula akan dibincangkan kemudian. Kalau ada perancangan itu, kami akan ambil mereka,” katanya.

Dalam masa sama, Aman optimis untuk meneruskan COF LOCKSTAR pada musim kedua selain menerbitkannya di beberapa negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

“Musim pertama ini kita mendapat maklum balas yang bagus. Jadi, musim kedua akan diteruskan tahun depan. Dengan adanya program ini, ramai bakat baharu nak tonjolkan diri, namun ramai terlepas nak masuk. Mereka mahu menjadikan program ini sebagai platform ketengah bakat dan Insya-Allah, kalau ada stesen TV atau pihak lain sebagai contoh platform over-the-top (OTT) yang ingin bekerjasama, saya okey saja.

“Cuma, apa saya harapkan memang nak buat COF LOCKSTAR Indonesia. Sekarang ini dalam proses ke arah itu. Jika semua berjalan lancar, insya-Allah ia berlangsung tahun depan. Selain itu, saya juga menyasarkan nak kerjasama dengan beberapa negara lagi seperti Singapura, Thailand dan Brunei. Kiranya, kalau dapat semua ini di musim akan datang, kami nak ‘live stream’ dengan semua negara berkenaan dalam menjayakan COF LOCKSTAR,” katanya.

Program COF LOCKSTAR menampilkan barisan juri profesional pada kalangan penyanyi terkenal tanah air seperti penyanyi Akim Ahmad, Hazama, Black Hanifah, Tomok dan Altimet. Sementara itu, pelawak dan penyampai radio, Ajak bertindak sebagai pengacara.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat