Makan angin di Dabong

- Advertisement -

KALI pertama penulis ke Dabong, Kelantan ialah pada 2014 iaitu sebulan selepas peristiwa banjir besar yang mana keadaan sekitar pekan kecil itu hanya boleh dilihat lumpur tebal setinggi setengah meter selain laluan digenangi air.

Namun, menyaksikan ‘wajah’ baharu Dabong menerusi perkongsian peniaga di Wakaf Bharu, Samsidar Ismail, 37, yang bercuti bersama keluarga ke pekan kecil dalam daerah Kuala Krai itu mengundang rasa teruja penulis.

Perjalanan ke Dabong dikongsikan wanita itu yang bercuti bersama 11 ahli rombongan termasuk tujuh ahli keluarga dan dua rakannya disifatkan satu pengalaman unik kerana menggunakan kereta api yang mengambil masa tiga jam perjalanan.

ya ke Dabong sudah kali kedua dengan kereta api. Tetapi, perjalanan pertama saya hanya disertai seorang rakan dan kami tidak sempat meninjau kawasan tarikan pelancongan di sekitar.

“Kali kedua pula kebetulan saya berhasrat untuk bawa anak bercuti dan merasai pengalaman menaiki kereta api ke Dabong. Kali ini saya dan suami merancang untuk melawat kawasan pelancongan yang ada.

“Bercuti dengan kereta api pada saya suatu yang berbeza dan bagi anak pula mereka suka kerana lebih bebas bergerak ke gerabak lain bagi melihat pemandangan yang berbeza,” katanya.

Sebaik tiba di stesen Dabong kata Samsidar, sudah ada pemandu pelancong menunggu dan bersedia membawa mereka ke lokasi tarikan di kawasan sekitar.

Bagi percutian kali ini Samsidar menggunakan khidmat pemandu pelancong yang mesra disapa Kak Sue yang tanpa berlengah membawa mereka melawat destinasi pertama iaitu Gua Ikan.

 

SAMSIDAR ceria bersama keluarga yang melancong ke Dabong dengan kereta api.
SAMSIDAR ceria bersama keluarga yang melancong ke Dabong dengan kereta api.

 

 

SAMSIDAR dan rombongannya bergambar dengan batu berbentuk ‘ikan’ di Gua Ikan.
SAMSIDAR dan rombongannya bergambar dengan batu berbentuk ‘ikan’ di Gua Ikan.

 

“Mudah sebenarnya melancong ke Dabong menggunakan khidmat kereta api. Sebaik sampai ada ramai pemandu pelancong tempatan sedia menunggu di stesen dan mereka ini akan cadangkan pakej atau lokasi sesuai dengan permintaan pelancong.

“Kali ini saya buat permintaan lokasi lebih santai sesuai untuk keluarga terutama anak-anak. Kak Sue cadangkan saya mengunjungi tiga lokasi iaitu Gua Ikan, Lata Kertas dan Lata Kenerong.

“Gua Ikan tidak perlu kelengkapan rumit memadai dengan mengenakan pakaian santai sudah boleh jelajah sekitar gua. Bagi mereka yang sukakan aktiviti teroka gua boleh jelajah ke pelosoknya kerana dikatakan ada beberapa lagi gua lain berhampiran.

“Malah, Gua Ikan seperti yang dimaklumkan Kak Sue merujuk kepada rupa gua yang menyerupai bentuk ikan selain ada aliran anak sungai yang cetek menyusurinya. Di sini bagi pelancong boleh rakamkan kenangan dengan struktur stalaktit dan stalagmit yang ada,” katanya.

Perjalanan Samsidar dan kumpulannya diteruskan ke destinasi kedua iaitu Lata Kertas yang mengambil masa 15 hingga 20 minit menyusuri laluan ladang dan kebun.

“Lata Kertas ini masih baharu dan difahamkan kami antara kumpulan terawal yang dibawa mengunjunginya. Untuk mandi belum sesuai kerana tiada kemudahan seperti tandas atau tempat menyalin pakaian.

“Kalau orang luar tiba mereka biasanya merakam gambar kerana ada satu ‘port’ air terjun yang memanjang dan cantik. Di sini kedalaman air tidak sesuai untuk kanak-kanak selain batu sekitarnya juga besar,” katanya.

Destinasi paling diingati ialah ‘momen’ berada di Lata Kenerong. Kata Samsidar, ketika dia tiba di lokasi itu sudah ada khemah dipacak dan beberapa ‘port’ orang menempatkan barangan berkelah.

 

KHAIRUL Amre (kiri) memiliki kemahiran membawa pengunjung menjelajah gua.
KHAIRUL Amre (kiri) memiliki kemahiran membawa pengunjung menjelajah gua.

 

“Pada saya, Lata Kenerong menawarkan pemandangan cukup indah. Sungai luas dan jeramnya terdiri daripada batu-batuan kecil. Di situ juga anak-anak saya sakan mandi.

“Di Lata Kenderung juga pemandu pelancong membawa kami singgah di restoran Mee Udang Kak Na yang memiliki pelbagai pilihan sajian berasaskan udang. Memang enak dan disyorkan kepada peminat hidangan mee terbabit,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong bertauliah di Dabong dan anak tempatan, Khairul Amre Leias, 37, berkata, Dabong sebelum ini hanya menjadi pilihan peminat sukan ekstrem.

“Dabong memang ‘syurga’ bagi peminat ekopelancongan kerana panoramanya unik. Contohnya kalau di puncak Gunung Stong, ada awan karpet.

“Manakala air terjun Jelawang memegang reputasi tertinggi di Asia Tenggara dan mempunyai tujuh tingkat air terjun dengan ketinggian 303 meter dari aras laut.

“Tidak kurang juga dengan fenomena ‘God Light’ di Gua Ikan yang membuatkan peminat aktiviti gua sanggup menunggu dua jam demi menyaksikan panorama itu,” katanya.

Tambah Khairul Amre, dengan adanya kemudahan pengangkutan seperti kereta api, ia mampu merancakkan lagi pelancongan di Dabong yang ketika dulu hanya kenali sebagai tempat ‘jin bertendang.’

“Bagi pelancong domestik yang berhasrat untuk datang bercuti, sekarang ini dengan kemudahan pengangkutan awam baharu lebih mudah kerana tidak perlu memandu jauh sebaliknya boleh bersantai menikmati pemandangan dari gerabak saja.

“Mereka boleh memilih untuk naik bas atau memandu ke Wakaf Bharu atau Kuala Krai dan menaiki kereta api dari sana. Perkhidmatan kereta api terawal dari Wakaf Bharu pada 4 pagi.

“Jika mahu menikmati percutian pengembaraan kereta api dari Kuala Lumpur, boleh pilih laluan Kuala Lumpur ke Gemas dan Gua Musang,” katanya.

Harian Metro

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,581FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat