KUALA LUMPUR – Tayangan drama bertajuk ‘Madu atau Racun’ ditolak oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kerana telah mencetuskan kontroversi serta menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menterinya, Zulkifli Hasan berkata pihaknya berasa kesal di atas tindakan pihak produksi memasukkan elemen yang menyentuh sensitiviti agama dan norma budaya tempatan.
“Penerapan unsur-unsur bertentangan dengan ajaran Islam serta budaya ketimuran ini perlu dibendung agar pegangan akidah dan nilai moral masyarakat, khususnya generasi muda, sentiasa terpelihara.
“JPM (Hal Ehwal Agama) menegaskan bahawa prinsip ajaran Islam sentiasa meletakkan keutamaan kepada pemeliharaan kesucian institusi kekeluargaan dan tatasusila kehidupan beragama, manakala pemaparan gaya hidup songsang adalah bertentangan sama sekali dengan nilai murni tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menyemak kandungan untuk tindakan susukan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam serta peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Katanya, ini adalah demi memastikan sebarang kandungan media disiarkan secara sahih dan memelihara kesucian agama.
Zulkifli berkata, JPM (Hal Ehwal Agama) menyeru semua penggiat seni, penerbit, dan stesen penyiaran agar sentiasa peka serta bertanggungjawab dengan menjadikan garis panduan rasmi ditetapkan sebagai rujukan utama dalam menghasilkan karya mendidik jiwa dan membina sahsiah bangsa.
“Industri seni dan platform media sepatutnya dimanfaatkan sebagai medium menyemaikan nilai-nilai kebaikan, bukannya mencetuskan polemik yang menjejas keharmonian norma masyarakat.
“Kepada seluruh umat Islam, marilah kita bersama-sama mempertahankan kesucian agama dan akhlak dengan penuh ketaatan serta kebijaksanaan,” katanya.



