JAKARTA – Gelombang tunjuk perasaan dan rusuhan yang melanda beberapa wilayah di Indonesia sejak minggu lalu mencetuskan kerosakan berskala besar, dengan kerajaan menganggarkan nilai kerugian mencecah hampir 900 bilion rupiah atau bersamaan RM285 juta.
Menteri Buruh Indonesia Dody Hanggodo berkata, angka itu melibatkan pelbagai kemudahan awam dan infrastruktur yang rosak atau musnah akibat keganasan dan kekacauan yang berlaku secara meluas di seluruh negara.
“Jumlah kerugian yang kami rekodkan setakat semalam di seluruh Indonesia hampir mencapai 900 bilion rupiah” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di Gerbang Tol Pejompongan, Jakarta, lapor media di Indonesia.
Antara infrastruktur utama yang terjejas termasuk bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) yang dibakar, gerbang tol, stesen dan hentian pengangkutan awam, serta pelbagai kemudahan awam lain. Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan paling teruk terjejas setakat ini ialah Jawa Timur, dengan beberapa bangunan penting musnah dalam insiden kebakaran.
Antara lokasi signifikan yang dilaporkan rosak ialah Gedung Negara Grahadi, sebuah bangunan berstatus warisan budaya, serta Pejabat Kantor DPRD Kota Kediri, selain beberapa stesen bas dan hentian pengangkutan yang turut menjadi sasaran.
Dody turut menambah, pihak berkuasa kini sedang menilai skala kerosakan di kawasan lain termasuk Makassar, Sulawesi Selatan, susulan kejadian bangunan DPRD Makassar dibakar dari malam Jumaat hingga awal pagi Sabtu lalu.
Protes yang pada asalnya tercetus akibat kemarahan rakyat terhadap kenaikan elaun mewah wakil rakyat, telah merebak menjadi gerakan nasional membantah kekerasan pihak berkuasa, selepas tersebarnya rakaman video insiden pembunuhan seorang penghantar makanan oleh polis separa tentera.
Gelombang protes ini menambah tekanan kepada pemerintah Indonesia yang kini berdepan desakan agar melakukan reformasi menyeluruh terhadap sistem keselamatan dan pengurusan pentadbiran awam, selain menilai semula keistimewaan yang dinikmati golongan elit politik.



