Pas letakkan bukan Islam kategori kafir harbi, tak mudah MCA dan MIC terima – Lian Ker

KUALA LUMPUR – Rata-rata pengundi Cina dan India yang mengundi MCA dan MIC belum lagi boleh dan tidak lagi akan menerima Pas selagi parti Islam itu masih berpegang pada pelaksanaan sistem perundangan Islam dalam masyarakat majmuk yang juga akan meletakkan masyarakat bukan Islam di bawah kategori yang lebih rendah dalam bentuk kafir harbi dan kafir zimmi.

Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker memberitahu, ini adalah sama dengan nada politik DAP yang mahu menghapuskan kuota bumiputera yang tidak boleh diterima oleh masyarakat Melayu walaupun DAP cuba menutup keaiban politik ini dengan naratif-naratif baru.

“Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengalu-alukan MCA dan MIC untuk bersama mereka. Dari segi strategi, ini adalah ternyata salah kerana MCA dan MIC akan tenggelam dan hilang undi tradisi mereka sekiranya optik politik ialah MCA dan MIC masuk Pas.

“Ini mungkin menguatkan Pas tetapi semestinya akan melemahkan lagi MCA dan MIC kerana rata-rata pengundi Cina dan India belum lagi boleh dan tidak lagi akan menerima Pas selagi Pas masih berpegang pada pelaksanaan sistem perundangan Islam dalam masyarakat majmuk yang juga akan meletakkan masyarakat bukan Islam dibawah kategori yang lebih rendah dalam bentuk kafir harbi dan kafir zimmi,” kata Lian Ker.

Justeru beliau mencadangkan, adalah lebih manis sekiranya Tuan Ibrahim atas kapasiti Perikatan Nasional (PN) atau lebih baik kalau Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjemput MCA dan MIC dalam kapasiti rasmi mereka bagi pihak PN.

“Apa yang berlaku pada DAP dalam tahun 1999 di mana DAP cuma menang 5 peratus kerusi yang ditanding yakni 10 kerusi daripada 193 kerusi yang ditanding akan berlaku pada MCA dan MIC sekiranya mereka mengharapkan sokongan dari pengundi Pas kerana yang dikendong pasti berciciran dan yang dikejar tak akan dapat.

“Jemputan Timbalan Presiden Pas walaupun manis di mulut tetapi semestinya tidak enak di hati masyarakat Cina dan India selagi Pas tidak mengubah wajah mereka dari “konservatif” kepada “lebih terbuka”, kata Lian Ker lagi.

Ujar beliau, ini lebih-lebih lagi setelah DAP memomokkan pengundi Cina dan India bahawa Pas akan mentadbir negara ini secara “taliban” dan kemunculan gelombang hijau akan memungkinkan Perdana Menteri Pas buat pertama kalinya. Inilah yang digentar oleh mereka selama ini.

“Maka Pas perlulah menyederhanakan diri melalui permuakatan Perikatan Nasional atau mengubah dasar atau pendekatan politik parti dari penekanan pada agama dan kaum kepada keadilan sosial , kemanusiaan dan kebajikan umat sejagat.

“Kalau asas jemputan adalah semata-mata mahu menang atau hanya nak tambah kawan demi cukupkan angka, itu bukan kerjasama politik — itu sekadar projek tambah kerusi sandaran atau “tahaluf siyasi” yang pernah dilaung-laungkan oleh Pas dan DAP. Ini adalah kerjasama yang penuh dengan politik kesempatan dan bukannya atas keikhlasan.

“Pas perlulah menunjukkan parti mereka bukan parti perkauman dan menegakkan keadilan dan rukun-rukun ketuhanan yang suci dan sejati.

“Sebagai permulaannya Pas patut menyokong pemilihan Ahli Majlis Tempatan atas prinsip demokrasi dan bukannya menentangnya atas phobia perkauman,” katanya.

Menurut beliau lagi, perjuangan atas prinsip keadilan dan dasar kesejagatanlah medan sebenar untuk tunjuk kesungguhan Pas untuk lawan rasuah, hentikan salah guna kuasa, dan Pastikan Ahli Majlis dipilih rakyat, bukan dilantik ikut selera parti. Selagi lantikan kroni jadi budaya, selagi itu, niat dan nekad nak banteras rasuah tinggal slogan kosong semata-mata.

“Kerjasama dengan MCA, MIC atau sesiapa pun mesti berpijak pada nilai murni suci bersama, bukan sekadar janji manis di pentas ceramah.

“Prinsip-prinsip suci dan alim seharusnya dijadikan teras perjuangan bersama supaya parti-parti seperjuangan boleh memeluknya sebagai asas dan teras perjuangan gabungan-gabungan parti – kesederhanaan – bertentangan dengan politik mendabik dada dan teriak emosi agama atau bangsa bila tersepit, amalan demokrasi sejati – yang telah diketepikan kebelakangan ini dan juga amalan meritokrasi dan daya saing – bukan budaya kroni, nepotisme dan sebagainya.

“Kemajmukan Malaysia – bukan retorik manis depan kawan, tapi lain wajah bila balik kandang sendiri,” kata beliau.

Jelas Lian Ker, rakyat sudah muak dengan politik acah-acah inklusif. Kalau sekadar bawa MCA dan MIC masuk dalam khemah besar, tapi dasar tetap sempit dan kuasa tetap berpusing di kalangan kroni, itu bukan “kerjasama” — itu projek rakus kuasa yang juga merupakan amalan status quo tanpa ubah.

“Sampai bila rakyat mahu lihat politikus yang jual jaja wajah inklusif, kesederhanaan dan kemajmukan tetapi sembunyi tangan yang masih ligat menongkat sistem perkauman atau amalan sistem pecah dan perintah yang lama diamalkan dan telah sekian lama membinasakan negara kita ini? soalnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat