JAKARTA – Indonesia kini sedang menghadapi suasana politik yang tegang apabila gelombang protes berhubung peningkatan kos sara hidup, gaji ahli Parlimen dan keganasan polis terus menggugat keyakinan pelabur terhadap ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Indeks Komposit Jakarta (Jakarta Composite Index) merosot sehingga 3.6 paratus semalam, manakala nilai rupiah Indonesia menyusut kepada 16,500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) – paras harian terendah sejak 1 Ogos – demikian menurut data daripada LSEG.
Walaupun keganasan dan tunjuk perasaan itu telah menggugat keyakinan pelabur, beberapa penganalisis pasaran berkata keadaan itu tidak mungkin mencabar asas pertumbuhan jangka panjang Indonesia.
Jualan besar-besaran di pasaran baru-baru ini didorong oleh “sentimen semata-mata”, kata Howe Chung Wan, pengarah urusan dan ketua pendapatan tetap Asia di Principal Fixed Income, sambil menjelaskan bahawa reaksi pelabur berlaku berdasarkan perkembangan hujung minggu.
“Indonesia masih tergolong antara pasaran baru muncul yang lebih stabil,” kata Howe, sambil menyifatkan impak demonstrasi sebagai halangan jangka pendek.
“Saya tidak fikir ia benar-benar mengubah gambaran keseluruhan pada ketika ini.”
Christopher Wong, penganalisis mata wang di OCBC Bank, menjangkakan kelemahan jangka pendek pada nilai rupiah adalah bersifat sementara dan akan pulih semula apabila ketidaktentuan dalam negara reda.
Beliau tidak memberikan ramalan lebih terperinci kerana ketidaktentuan yang masih tinggi.
Tidak jelas sama ada tunjuk perasaan di Jakarta atau bandar-bandar lain akan berterusan memandangkan beberapa kumpulan pelajar dan masyarakat sivil telah membatalkan perhimpunan bagi mengelakkan peningkatan kekerasan daripada pihak berkuasa.
Pelabur akan memberi perhatian kepada langkah seterusnya oleh kerajaan dalam menangani tuntutan rakyat dan meningkatkan keyakinan pasaran, kata Ari Jahja, ketua penyelidikan Indonesia di Macquarie Capital.
“Dari sudut positif yang kecil, Indonesia mungkin muncul lebih kukuh sekiranya reformasi struktur dilaksanakan,” katanya.
Radhika Rao, pakar ekonomi di DBS, bersetuju bahawa pemacu pertumbuhan jangka panjang Indonesia masih utuh.
Pelabur akan meneliti sebarang petanda bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada pertumbuhan dan penciptaan pekerjaan, katanya, sambil menjangka sebahagian daripada pemotongan perbelanjaan di Jakarta boleh disalurkan semula untuk mengurangkan pengangguran.
Bank Indonesia masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengekalkan dasar kewangan yang menyokong, sambil menambah bank pusat dijangka bertindak pantas untuk menenangkan pasaran serta campur tangan bagi menyokong nilai rupiah apabila diperlukan.
Hasil bon kerajaan Indonesia 10 tahun meningkat sedikit kepada 6.335 peratus semalam, manakala hasil bon 30 tahun hampir tidak berubah pada 6.850 peratus, menurut data LSEG.
Ribuan penunjuk perasaan di beberapa bandar utama negara Asia Tenggara itu telah mengadakan demonstrasi selama kira-kira seminggu, membantah peningkatan kos sara hidup, kadar pengangguran yang tinggi dan apa yang dianggap oleh ramai rakyat sebagai bayaran berlebihan kepada ahli parlimen.
Elaun perumahan ahli parlimen, yang dilaporkan 10 kali ganda daripada gaji minimum bulanan negara – ketika rakyat berpendapatan rendah sedang terhimpit akibat cukai yang meningkat, pemberhentian kerja dan inflasi – menjadi punca utama kemarahan awam.
Rasa tidak puas hati terhadap beban ekonomi ini berubah menjadi kemarahan yang lebih luas selepas seorang penunggang ojek (motosikal teksi) dilaporkan terbunuh dalam tindakan polis di lokasi protes, Khamis lalu.
Insiden itu mencetuskan gelombang protes ganas di beberapa bandar Indonesia, dengan desakan agar reformasi polis dilaksanakan.
Protes memuncak hujung minggu lalu, apabila perusuh menyasarkan kediaman ahli parlimen, memecah masuk dan merompak harta benda, serta membakar bangunan kerajaan, menurut laporan media.
Ratusan dilaporkan menyerbu rumah Menteri Kewangan, Sri Mulyani di Tangerang Selatan, memaksa masuk dan mengambil barangan berharga.
Bagi meredakan kemarahan rakyat, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata bahawa parlimen negara akan mendengar dan bertindak atas kebimbangan rakyat, serta berjanji untuk mengurangkan elaun besar ahli parlimen.
Indonesia – ekonomi keempat terbesar di dunia dengan populasi 284 juta – sebelum ini dilihat sebagai salah satu ekonomi paling stabil di Asia Tenggara.
Namun, protes terkini yang telah meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan mencederakan ratusan orang itu, menjadi krisis paling buruk sejak Prabowo mengambil alih jawatan presiden kira-kira setahun lalu, lapor CNBC.
“Detik ini merupakan ujian utama terhadap pendekatan Prabowo dalam menangani bantahan,” kata Bob Herrera-Lim, pengarah urusan di firma perunding politik Teneo.
“Presiden mungkin bimbang jika beliau terus berlembut terhadap desakan jalanan lebih daripada beberapa hari, ia akan memberi gambaran bahawa beliau membuka ruang kepada kemunculan pembangkang rakyat yang mencabar pemerintahannya.
“Presiden turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap penunjuk perasaan yang bertindak ganas,” katanya.



