CYBERJAYA — Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menggesa rakyat Sabah segera menolak kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang penuh tipu helah, khianat dan hanya mementingkan diri sendiri.
Bung Moktar mendedahkan perkara itu dalam podcast Jam Kesebelas terbitan Suara TV dengan mendakwa Hajiji telah menunjukkan sikap tidak amanah sejak awal lagi apabila sanggup memungkiri perjanjian bersama rakan politik demi mengekalkan kuasa.https://www.facebook.com/share/v/16uGXWY84U/
Beliau berkata, sudah tiba masanya rakyat Sabah membuka mata terhadap pemimpin sebegini kerana kegagalan Hajiji menghormati rakan seperjuangan dan telah menipu sejak hari pertama mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada Januari 2023.
“Hari pertama waktu angkat sumpah di istana dia sudah tipu saya. Sebelum itu ada perjanjian jawatan saya Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya.
“Tapi keesokan paginya diumumkan jawatan lain.Saya berat hati untuk terima, tetapi kerana hormat kepada TYT, saya ikut juga. Pada saya, ini jelas penipuan sejak awal.
“Selepas proses itu, saya panggil semua pemimpin UMNO. Saya kata mari kita balik, ini kerajaan menipu. Dari hari pertama sudah menunjukkan tidak amanah, tidak jujur, tidak transparent,” katanya.
Beliau mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terus terpedaya dengan permainan politik Hajiji yang didakwanya penuh dengan tipu helah dan penipuan.
Menurut Bung Moktar, Hajiji kerap berpura-pura menangis untuk meraih simpati, namun tindakannya hanyalah sekadar ‘air mata buaya’ yang merugikan rakyat serta mengkhianati rakan politik sendiri.
“Hajiji ini penipu. Dia pandai menangis, tapi tangisan dia tangisan air mata buaya. Pandai makan jalan, pandai main perasaan orang.
“Saya ingin berterus terang, rakyat Sabah perlu tolak dia, sebab pemimpin begini tidak ikhlas dan tidak pernah menghormati kawan-kawan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, episod penipuan itu menjadi punca krisis politik yang dikenali sebagai Langkah Kinabalu, apabila UMNO menarik sokongan terhadap Hajiji pada Januari 2023.
“Pagi kita bincang, tengah hari dia ubah. Tengah hari bincang, malam dia ubah. Dua tahun kami makan hati, ditipu berulang kali.
“Sebab itu saya berpendirian jelas Hajiji perlu ditolak. Dia gagal jadi pemimpin yang konsisten, asyik mungkir janji.”
“Kalau dengan kawan sendiri pun dia boleh khianat, bayangkan apa lagi yang dia boleh buat pada rakyat,” tegasnya.
Bung Moktar menambah, pertelingkahan antara UMNO Sabah dan Gagasan Rakyat bermula selepas Hajiji membelakangkan perjanjian awal pembentukan kerajaan.
Jelasnya, jawatan penting yang sepatutnya diberi kepada UMNO ditarik balik secara sepihak, dan ini sekali gus mencetuskan krisis keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji.
“Janji yang ditandatangani sepatutnya dihormati, tapi Hajiji buat keputusan sendiri demi kuasa.
“Ini bukti jelas dia tidak amanah, tidak berintegriti dan lebih penting lagi tidak menghormati rakan seperjuangan,” katanya.
Bung Moktar menegaskan, sikap khianat ini amat berbahaya kerana akan merosakkan kestabilan Sabah dan merugikan rakyat jika dibiarkan berterusan.
“UMNO Sabah tidak akan berdiam diri. Kita akan terus menjadi benteng terakhir rakyat agar negeri ini tidak diperintah oleh pemimpin yang hanya tahu menipu dan mengkhianati janji.
“Rakyat Sabah berhak mendapat kepimpinan jujur dan amanah, bukan pemimpin yang pandai berpura-pura demi kepentingan peribadi.
“Hari ini mungkin dia boleh tipu, boleh main sandiwara, tapi rakyat Sabah tidak bodoh. Sampai masanya, rakyat sendiri akan hukum Hajiji,” tegasnya.
Untuk rekod, susulan kemelut politik yang melanda negeri Sabah sejak awal Januari 2023, Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di Istana Seri Kinabalu.
Krisis tercetus apabila Barisan Nasional (BN) Sabah yang dipimpin Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Langkah itu bagaimanapun berpecah apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN memilih untuk kekal bersama Hajiji.
Ketika kedudukan beliau goyah, Hajiji menerima suntikan sokongan daripada Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Dengan gabungan sokongan tersebut, Hajiji berjaya membuktikan bahawa beliau masih memiliki majoriti untuk terus menerajui pentadbiran negeri.
Sebelum ini, hubungan antara BN Sabah dan GRS mula retak apabila Bung Moktar mendakwa perjanjian awal pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 tidak dipatuhi.
Menurut beliau, perjanjian itu menetapkan dirinya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, namun ia berubah ketika majlis angkat sumpah pada tahun 2020.
Upacara angkat sumpah Hajiji pada Januari 2023 sekali gus menamatkan krisis politik yang berlarutan, selain menandakan permulaan kerjasama baharu antara GRS dan PH dalam membentuk kerajaan negeri Sabah.



