Harga kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) RM16, RM19.90 sahaja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Harga kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) telah ditetapkan RM16 untuk harga borong manakala RM19.90 bagi harga runcit bermula 5 September ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Penentuan harga maksimum kit ujian ini telah ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata kedua-dua kementerian akan bekerjasama dalam melaksanakan penentuan harga borong dan runcit bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri).

Katanya, hal ini kerana kerajaan sedar bahawa situasi COVID-19 di negara kita dan di seluruh dunia masih belum pulih malah situasi yang sedang melanda pada masa sekarang adalah lebih mencabar.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap kit ujian pantas antigen COVID19 (ujian sendiri) dijangkakan meningkat susulan kesedaran orang ramai bagi membuat ujian sendiri untuk memastikan diri bebas dari wabak COVID-19.

“KPDNHEP telah mengadakan libat urus dengan semua pemain industri tempatan dan pengimport dalam menentukan harga kawalan yang berpatutan bagi semua pihak.

“KPDNHEP juga menjangkakan kesan persaingan akan menstabilkan lagi harga jualan di semua peringkat seperti mana berlaku kepada harga pelitup muka sekarang,” katanya.

Kit Ujian Pantas Antigen COVID-19 (ujian Sendiri) yang akan dikawal adalah merupakan suatu peranti yang diluluskan secara bersyarat oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),KKM bagi pengesanan antigen yang menyebabkan penyakit COVID-19 dengan menggunakan sampel bendalir mulut atau swab hidung,” ujarnya.

Oleh itu jelasnya, sebagai kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup yang meningkat pada masa kini dan sebagai tanda sokongan kementerian bagi menangani wabak COVID-19.

KPDNHEP akan membuat kawalan ke atas harga borong dan runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) yang akan berkuat kuasa pada 5 September 2021 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Penentuan harga maksimum borong dan runcit kit ujian pantas antigen COVID-19 (ujian sendiri) dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan di
pasaran bagi manfaat pengguna dan peniaga.

“KPDNHEP akan membuat pemantauan harga di semua premis dan farmasi di seluruh negara; maklum balas dari agensi kerajaan seperti Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); dan perbincangan dengan pengilang, pengimport, peruncit dan persatuan farmasi barangan tersebut.

“Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti, kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga
RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” tegasnya.

Selain itu, katanya kementerian telah menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan berkaitan isu harga.

“Kementerian turut mewujudkan Skuad Tindakan Aduan Rakyat (STAR) dalam usaha untuk menangani aduan rakyat dengan lebih berkesan.

“Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP di portal [email protected]; pusat panggilan 1800 886 800; emel [email protected]; aplikasi telefon pintar Ez ADU ; Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 atau Whatsapp ke 019- 279 4317.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat