Cyberjaya, 2 Ogos 2025 – Suasana di dewan utama Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dipenuhi rasa bangga dan haru ketika ribuan warga FELDA dari seluruh negara berhimpun dalam Majlis Aspirasi Peneroka 2025. Acara ini merupakan kemuncak kepada penganjuran Mega Karnival 3 Dimensi FELDA, satu inisiatif yang menggabungkan elemen penghargaan, pembangunan komuniti, dan aspirasi generasi baharu dalam suasana penuh semangat kekitaan.
Majlis ini diraikan sebagai lambang pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan warga peneroka FELDA, dan pada masa yang sama menjadi medan memperkenalkan hala tuju baharu yang lebih inklusif dan progresif. Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat kepada warga FELDA, yang menghargai sokongan berterusan kerajaan terhadap usaha membina masa depan luar bandar yang lebih sejahtera dan berdaya saing.
Kemuncak majlis tahun ini ialah penyampaian Anugerah Aspirasi FELDA, satu bentuk pengiktirafan berprestij yang meraikan kejayaan dan dedikasi warga FELDA dalam pelbagai bidang. Anugerah ini bukan sekadar simbol kejayaan peribadi, tetapi cerminan kepada semangat kolektif seluruh komuniti peneroka yang mahu terus maju, mencipta nilai dan menjadi inspirasi kepada seluruh negara. Ia menampilkan penerima dari pelbagai latar belakang, termasuk para usahawan, pemimpin komuniti, belia, wanita, penggerak masjid serta institusi koperasi yang telah menunjukkan daya saing dan daya cipta tinggi dalam membina kejayaan bersama.

Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya menyatakan bahawa anugerah-anugerah ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap iltizam yang tidak pernah padam, sekaligus menjadi tanda bahawa FELDA sedang menuju sebuah era baharu yang lebih terarah dan berpandangan jauh. Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan FELDA selama ini tidak pernah berdiri sendiri, sebaliknya didokong oleh kesepaduan antara peneroka, pengurusan FELDA dan kerajaan yang saling melengkapi.
Beliau menyampaikan perumpamaan yang cukup bermakna, menggambarkan perpaduan ini sebagai sebuah gulai kawah yang hanya dapat dimasak dengan seimbang jika ketiga-tiga tungku di bawahnya kukuh dan tegak berdiri. Jika satu daripadanya runtuh, maka hancurlah keseimbangan itu. Ia adalah peringatan bahawa kejayaan FELDA bukan milik satu pihak semata-mata, tetapi hasil daripada kerjasama erat yang telah dibina sejak awal penubuhannya.
Shabery turut mengumumkan perkembangan besar apabila FELDA kini berjaya memperoleh lebih 90 peratus pegangan saham dalam FGV. Kejayaan ini membuka lembaran baru kepada FELDA untuk mengatur semula hala tujunya secara bebas, terutamanya dalam aspek pengurusan ladang, perniagaan hiliran dan penglibatan usahawan peneroka secara langsung dalam aktiviti ekonomi yang bernilai tambah. Langkah ini juga membolehkan FELDA keluar daripada senarai syarikat awam di Bursa Malaysia, sekaligus mengembalikan kawalan penuh terhadap masa depan ekonominya sendiri. Menurut beliau, ini bukan sekadar pencapaian pentadbiran, tetapi isyarat pemulihan maruah dan kuasa FELDA sebagai sebuah institusi rakyat.

Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai persembahan dan tayangan video ditampilkan untuk menyemarakkan lagi semangat dan rasa kebersamaan. Salah satu persembahan yang meninggalkan kesan mendalam ialah hasil kolaborasi orkestra MAWO, yang terdiri daripada pelajar MRSM FELDA Trolak.
Ramai antara anggota orkestra itu merupakan pelajar Ulul Albab yang juga hafiz al-Quran, malah ada yang pernah mewakili negara ke pertandingan muzik antarabangsa. Mereka membuktikan bahawa anak-anak FELDA bukan sahaja mampu menghafaz kitab suci, malah turut cemerlang dalam seni dan budaya.
kumpulan orkestra MARESMaF Wind Orchestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab FELDA Trolak meraih Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Wind Orchestras Prague 2025.

Majlis turut menyaksikan penyerahan pelbagai Memorandum Persefahaman antara FELDA dan rakan-rakan strategik termasuk KPF Niaga, Sejamas Group, Agina Fruits Sdn. Bhd., serta Sustainable Future Sdn. Bhd. Sesi ini mencerminkan kesediaan FELDA untuk bergerak ke hadapan bersama entiti luar dalam meneroka peluang baharu, termasuk dalam bidang teknologi makanan, pengangkutan pintar, dan pertanian mampan.
Turut dilancarkan ialah program Karton Neutral serta penyampaian sumbangan penajaan kepada pasukan Ragbi MRSM Balik Pulau, sebagai usaha memperkukuh pembangunan sukan dan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar FELDA.
Dalam suasana penuh penghargaan dan keakraban, Majlis Aspirasi Peneroka tahun ini mengangkat semula nilai-nilai murni yang telah lama menjadi akar kepada kekuatan FELDA kesatuan, pengorbanan, daya tahan dan semangat untuk bangkit bersama. Ia juga menjadi isyarat jelas bahawa FELDA sedang melalui proses pemugaran, bukan sahaja dalam bentuk pentadbiran dan ekonomi, tetapi juga dari segi naratif dan nilai. Daripada ladang sawit kepada dewan orkestra, daripada koperasi kepada pelaburan strategik, FELDA kini bersedia melangkah sebagai institusi yang mendunia.
Majlis ini bukan sekadar satu sambutan tahunan, tetapi satu deklarasi kolektif bahawa peneroka dan generasi baharu mereka bukan lagi sekadar penerima dasar, tetapi pemegang aspirasi nasional. FELDA tidak akan hanya terus hidup dalam sejarahnya, tetapi akan terus mencipta masa depan.



