Kuala Lumpur: Penggunaan tablet pada hari ini bukan saja sebagai salah satu aksesori sebaliknya sudah menjadi kemestian memandangkan fungsi mudah alih serta mudah dibawa ke mana saja.
Berdasarkan satu laporan daripada firma kajian, IDC menyatakan bahawa tablet keluaran Apple terus kukuh menerajui pasaran dengan 31 peratus pada suku kedua tahun ini.
IDC juga menyatakan bahawa Apple sudah mengeluarkan sebanyak 12.9 juta tablet untuk tiga bulan bermula April lalu.
Menerusi perkongsian pasaran semasa, Samsung di kedudukan kedua dengan 19.6 peratus diikuti Lenovo pada tahap 11.6 peratus.
Kejayaan Apple berkenaan banyak didominasi oleh beberapa siri tablet utamanya iaitu iPad Pro yang menggunakan cip pemproses generasi baharu sekali gus kefungsiannya sudah menyamai sebuah laptop terkini.
Pengguna juga lebih cenderung untuk menggunakan produk jenama berkenaan berikutan ekosistem pintar yang ditawarkan.
Harian Metro