OKU Jadi Sasaran Terbaharu Sindiket Penipuan ‘Love Scam’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelbagai kaedah digunakan sindiket penipuan ‘Love Scam’ bagi mencari mangsa dan terbaharu sindiket itu dipercayai turut mensasarkan orang kurang upaya (OKU) sebagai mangsa.

Difahamkan, sindiket terbabit merekrut ahli kumpulan berstatus OKU bagi memperdaya mangsa dalam golongan sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket penipuan akan menggunakan pelbagai kaedah bagi memperdaya mangsa.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan mendapati mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang, usia dan jantina.

“Tidak kira individu normal atau OKU, siapa saja boleh menjadi mangsa. Mereka akan mudah terpengaruh dengan pelbagai janji dan tawaran pendapatan lumayan terutama di luar negara.

“Sekiranya mengenali seseorang di laman sosial, sebaiknya semak dahulu dengan ahli keluarga atau kawan rapat yang mungkin lebih berpengalaman dan boleh memberi nasihat.

“Pertimbangkan terlebih dahulu setiap perkara yang ingin dilakukan dan jangan mudah terpengaruh dengan janji yang akhirnya terjerumus menjadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, sebuah keluarga yang mendakwa anak lelaki OKU menjadi mangsa penipuan ‘Love Scam’.

Joshua Chua Beng Hoe, 43, yang mempunyai masalah pendengaran dan bisu didakwa terpedaya dengan seorang wanita warga Kemboja yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook, tahun lalu.

Wanita itu dikatakan turut pandai menggunakan bahasa isyarat bagi memperdaya mangsa ketika berkomunikasi melalui panggilan video.

Tindakan wanita terbabit dikatakan berjaya meyakinkan mangsa sehingga dia memindahkan sejumlah wang ke akaun bank dipercayai milik wanita itu sebelum mangsa ‘melarikan diri’ ke Kemboja pada 26 Mei lalu.

Media sebelum ini melaporkan, penipuan cinta antara yang tertinggi di negara ini apabila mencatatkan 7,286 kes membabitkan kerugian RM365 juta sejak 2018 sehingga Februari lalu.

Daripada 7,286 kes yang direkodkan, 82.5 peratus atau 6,008 mangsa adalah wanita dan bakinya iaitu 1,228 kes membabitkan mangsa lelaki. – Hmetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat