Strategi pilihan raya UMNO hanya ditentukan apabila tiba masanya, boleh berubah ikut sentimen — Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, — Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menegaskan strategi pilihan raya parti itu tidak akan ditentukan terlalu awal, sebaliknya akan diputuskan berdasarkan realiti semasa apabila tiba masanya.

Beliau berkata, landskap pilihan raya hari ini tidak lagi statik kerana pengundi, isu dan sentimen rakyat sentiasa berubah.

Menurut Mohamad, UMNO perlu bersedia menyesuaikan pendekatan politiknya termasuk bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum Ke-16.

“Pilihan Raya hari ini tidak lagi statik. Landskap berubah. Pengundi berubah. Isu berubah. Jadi strategi kita juga mesti berubah.

“Strategi Pilihan Raya UMNO bukan ditentukan hari ini. Strategi kita ditentukan berdasarkan realiti semasa, apabila tiba masanya,” katanya ketika berucap sempena Ulang Tahun Ke-80 Penubuhan UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, pendekatan itu bukan kelemahan, sebaliknya mencerminkan kekuatan parti yang tidak lagi terikat dengan formula lama.

Katanya, UMNO perlu membaca sentimen rakyat, menilai kekuatan lawan dan menyesuaikan pendekatan bagi memastikan parti itu kembali menjadi kuasa dominan dalam politik negara.

“Dalam politik moden, fleksibiliti adalah senjata. Matlamat kita satu, mengembalikan UMNO sebagai parti dominan,” katanya.

Dalam ucapan sama, Mohamad turut mengingatkan ahli parti bahawa kemenangan tidak akan datang dengan sendiri, sebaliknya memerlukan disiplin, strategi dan kesatuan dalam kalangan ahli serta kepimpinan.

Beliau berkata, pilihan raya hari ini bukan sekadar bergantung kepada ceramah atau perang poster, tetapi turut melibatkan analisis dan perang data.

“Calon mesti berintegriti, boleh menang, dekat dengan rakyat,” katanya.

Mohamad dalam masa sama mengingatkan UMNO supaya tidak leka kerana parti itu masih berdepan cabaran besar untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu.

Katanya, UMNO mesti berubah dan perubahan itu perlu bermula sekarang sekiranya parti mahu terus kekal relevan dalam landskap politik baharu.

“UMNO tidak mati. UMNO tidak hilang. UMNO sedang diuji. Dan setiap kali diuji, UMNO bangkit lebih kuat,” katanya.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat