PUTRAJAYA, – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini menganjurkan Majlis Iftar dan Apresiasi NRES 2026 yang menghimpunkan warga kementerian serta agensi di bawahnya dalam suasana penuh muhibah dan kesyukuran sempena Ramadan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup. Turut hadir Timbalan Menteri, Syed Ibrahim Syed Noh, Ketua Setiausaha, Dr Ching Thoo a/l Kim, barisan pengurusan tertinggi kementerian serta ketua-ketua jabatan dan agensi.
Dalam ucapannya, Arthur merakamkan penghargaan atas komitmen dan dedikasi seluruh warga NRES dalam memperkukuh agenda kelestarian alam selaras aspirasi Malaysia MADANI. Beliau menegaskan bahawa Ramadan bukan sahaja bulan ibadah, malah ruang terbaik untuk memperkukuh integriti, nilai kebersamaan dan semangat berpasukan dalam perkhidmatan awam.
“Semangat Ramadan mengajar kita erti kesederhanaan, amanah dan tanggungjawab. Nilai-nilai ini perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar serta perkhidmatan kepada rakyat, khususnya dalam memastikan pengurusan sumber asli dan alam sekitar negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam tempoh singkat antara Disember 2025 hingga Februari 2026, NRES telah melakar pelbagai pencapaian penting yang menjadi asas kepada masa depan kelestarian negara. Antaranya, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 pada 25 Februari lalu.
Menurut beliau, kementerian juga telah menurunkan kuasa pengurusan sisa terjadual kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, sekali gus memberikan autonomi lebih luas kepada kedua-dua negeri dalam mencorakkan pengurusan alam sekitar mengikut acuan masing-masing.
Selain itu, NRES kini merangka perundangan berkaitan Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS) bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam pasaran karbon global. Usaha itu turut disokong melalui pemerkasaan inisiatif Bandar Rendah Karbon dengan penyelarasan semula kriteria hijau menggunakan teknologi terkini untuk pemantauan data emisi yang lebih tepat.
Dalam aspek kerjasama Persekutuan dan Negeri, beliau berkata NRES terus memperkukuh pengurusan hutan dan biodiversiti menerusi pelaksanaan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT), yang memberi insentif kepada negeri-negeri yang mengekalkan kawasan tadahan air dan hutan simpan.
Majlis turut diisi dengan sesi perkongsian oleh Ustaz Bahtiar Fitri, penyampaian sijil penghargaan kepada pegawai bersara serta sumbangan kepada petugas pembersihan dan anggota RELA yang bertugas di NRES sebagai tanda keprihatinan kementerian.
Seiring komitmen terhadap amalan gaya hidup lestari, penganjuran majlis itu turut menitikberatkan pengurangan penggunaan plastik sekali guna dan pengurusan sisa makanan secara berhemah.
Penganjuran program berkenaan diharap dapat terus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam memacu agenda kelestarian alam negara.



