Jangan Panggil Aku Gus ‘Pemanas Badan’ Erma Fatima sebelum filem baru

Selepas hampir sedekad tidak duduk sepenuhnya di kerusi pengarah, Erma Fatima akhirnya kembali ke set bukan kerana dirancang rapi, tetapi kerana keadaan yang memaksa. Namun di sebalik ‘keterpaksaan’ itu, lahir sebuah naskhah yang kini mencuri perhatian ramai, Jangan Panggil Aku Gus.

Menariknya, kepulangan Erma ke gelanggang pengarahan bukan didorong oleh keinginan awal untuk kembali aktif, sebaliknya berlaku secara kebetulan selepas dua calon pengarah yang dipilihnya tidak dapat meneruskan projek tersebut.

“Sebenarnya, saya tak terfikir pun nak masuk ke gelanggang pengarahan tu. Ada calon pengarah-pengarah yang saya nak untuk direct drama ni, tapi kedua-duanya tak available. Dah mula-mula available, lepas tu tak jadi dan sebagainya. Atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Dan akhirnya, tidak ada pilihan, maka saya pun turunlah padang. Dan lama tak mengarah,” katanya jujur.

Menurut Erma, beliau pada awalnya mahu memberi ruang kepada pengarah lain untuk mengemudi naskhah tersebut. Malah, beliau sendiri yang menawarkan projek itu kepada dua nama berpengalaman dalam industri. Namun kekangan jadual dan situasi peribadi menyebabkan kedua-duanya terpaksa menarik diri di saat akhir.

Daripada situ, Erma membuat keputusan untuk mengambil alih tanggungjawab tersebut. Baginya, pengalaman ini juga menjadi ‘pemanas badan’ sebelum beliau kembali mengarah filem yang sudah dirancang selepas Aidilfitri nanti.

Dalam masa sama, drama tersebut turut menjadi bualan hangat netizen apabila ada yang mengaitkannya dengan kisah seorang pendakwah selebriti, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful.

Bagaimanapun, Erma menegaskan bahawa karya itu tidak diinspirasikan daripada mana-mana individu sebenar.

“Mana ada! Tiada kena-mengena dengan dia pun. Apa yang berlaku kepada dia pun, saya sendiri tak tahu kebenarannya. Jadi saya tak reti nak buat benda-benda yang saya tak tahu. Saya pun tak nak menyentuh isu orang yang kita tak tahu kebenaran sebenar-benarnya,” jelasnya.

Menurutnya lagi, beliau tidak mahu terjerumus dalam polemik atau kontroversi yang bersandarkan spekulasi. Sebagai pengkarya, beliau lebih selesa membina karakter fiksyen berdasarkan pemerhatian umum terhadap realiti sosial, bukan bersandarkan kes individu tertentu.

“Saya tidak menidakkan ataupun mengiyakan,” tambahnya, mengambil pendekatan berhati-hati dalam memberi kenyataan.

Walaupun tidak mengulas secara terperinci tentang inti pati cerita, Erma mengakui Jangan Panggil Aku Gus antara karya paling berani pernah dihasilkannya sepanjang perjalanan seni.

Keberaniannya bukan sekadar pada tema, tetapi juga pada pendekatan penceritaan serta barisan pelakon yang dipilih. Drama ini menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia dalam satu projek rentas negara yang dianggap jarang berlaku kebelakangan ini.

Antara yang terlibat termasuk Bara Valentino, Lukman Sardi, Elina Joerg, Bima Samudera, Anna Jobling, Puteri Sarah, Umie Aida dan Vanida Imran.

Bagi Erma, kolaborasi Malaysia–Indonesia ini mengingatkannya kepada era kegemilangan filem kerjasama dua negara satu ketika dahulu. Beliau berharap usaha sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa hadapan.

“Alhamdulillah, drama ini gabungan pelakon Malaysia dan Indonesia. Saya harap selepas ini akan lebih banyak lagi drama atau filem yang menggabungkan artis Malaysia-Indonesia,” katanya.

Kembalinya Erma selepas 10 tahun juga membawa dimensi berbeza dalam pendekatan pengarahan. Tempoh berehat panjang itu menurutnya memberi ruang untuk menilai perubahan industri, cita rasa penonton serta perkembangan platform digital.

Jika dahulu karya-karyanya banyak menghiasi slot televisyen arus perdana, kali ini Jangan Panggil Aku Gus bakal ditayangkan secara rasmi di platform digital Karya Reels bermula 5 Mac ini.

Peralihan ke platform digital itu sendiri mencerminkan adaptasi Erma terhadap landskap hiburan yang semakin berubah. Penonton kini lebih bebas memilih kandungan dan platform, sekali gus menuntut karya yang lebih segar dan berani.

Bagi Erma, kembali mengarah bukan soal membuktikan sesuatu kepada sesiapa, tetapi lebih kepada memenuhi tanggungjawab terhadap karya yang sudah dirancang.
“Ini macam pemanas badan buat saya,” ujarnya ringkas.

Namun bagi pemerhati industri, kepulangan Erma ke set bukan sekadar ‘pemanas badan’. Ia mungkin menandakan fasa baharu dalam perjalanan seni seorang pengarah berpengalaman yang masih berani mencabar sempadan penceritaan meskipun selepas sedekad menyepi.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat