Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA -Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang di-Pertua Dewan Negeri Perak, Dato’ Mohammad Zahir Dato’ Abdul Khalid, berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.48 Ayer Kuning.
Menerusi kenyataan media oleh Setiausaha SPR, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak pada Jumaat berkata , sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
Ianya hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan tersebut telah berlaku.
“Sehubungan dengan itu, satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning, akan diadakan pada 7 Mac ini (Jumaat) bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut,”katanya.
“Mesyuarat khas ini akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan diputuskan.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut, ”katanya lagi.
Kekosongan kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu.
Ishsam menjawat Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018, sebelum menang bertanding kerusi Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU- 15) pada November 2022.
Beliau mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti
undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – SUARA.TV