Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan iktiraf LGBT – MAIS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa dalam menghukum seks luar tabii, tidak boleh dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sama ada oleh pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ataupun mahkamah.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ia berikutan perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap menjadi satu kesalahan amat serius di sisi Islam yang bercanggah dengan ajaran Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di negara ini.

“MAIS menghormati dan akur dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun ia bukan satu pengiktirafan kepada golongan LGBT.

“Dengan keputusan itu, MAIS dan pihak berkuasa agama Islam di Selangor akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan untuk kesalahan yang dilakukan oleh lelaki berkenaan diteruskan oleh pihak polis mengikut tatacara yang diperuntukkan mengikut Kanun Tatacara Jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat undang-undang berhubung dengan kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam, namun ia perlu selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya menyatakan bahawa pihak DUN Selangor masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan Syariah seperti kesalahan membabitkan akidah; kesucian agama Islam dan moral.

“Justeru, MAIS akan terus mendokong prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995) (EJSS) demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri terus terpelihara di Malaysia dan Selangor khasnya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu memutuskan bahawa peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah, adalah tidak sah dan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan itu (Seksyen 28) bercanggah dengan Item1 Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang mengenai perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat