Oleh Zihan Zari
PORT DICKSON – Ibu bapa serta seluruh keluarga perajurit muda, janganlah gusar dan berbanggalah dengan anak-anak yang memilih untuk menjadi keluarga besar Tentera Darat kerana tentera adalah satu tugas yang amat mulia.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, perajurit muda berani memikul tugas demi negara dan tidak semua anak-anak muda sanggup mengorbankan kehidupan mereka sebagai orang awam untuk menjadi anggota tentera.
Beliau berkata demikian ketika berucap
pada Majlis pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201 dan Wanita Siri 49 Tahun 2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Bandar Tentera Darat, dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Hj. Muhammad Huzaimi Sabri; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi; dan Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan Atan.
Muhammad Hafizuddeain turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga perajurit muda khususnya ibu bapa yang telah membenarkan anak-anak mereka yang telah menyertai TDM.
“Setinggi -tinggi penghargaan saya ucapkan kepada ibu bapa, ahli keluarga, dan saudara yang hadir pada perbarisan ini.
“Terima kasih kerana mengizinkan dan merelakan anak-anak muda ini memilih tentera sebagai kejayaan dalam hidup mereka.
“Di kalangan ibu bapa ada yang mengeluarkan air mata melihat perubahan susuk tubuh anak-anak mereka, dari cerah kulitnya hingga hitam jadinya, ”katanya.
“Namun, ketahuilah susuk yang hitam dan kurus inilah yang akan mempertahankan tanah air ini, yang akan memastikan rakyat tidur lena di malam hari.
“Semestinya, yang akan berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air, bukan semua anak-anak muda sanggup mengorbankan kehidupan awam demi menceburi bidang kenteraan,”katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, Tentera Darat bersedia mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat kemasukan perajurit dengan tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal.
“Soal kesihatan tetap diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah yang akan timbul kepada perajurit berkenaan pada masa hadapan.
“Kita telah bincangkan kemungkinan untuk lihat selepas ini, kita tidak terlalu kritikal di dalam aspek fizikal tetapi lebih tumpu kepada kemahiran atau kelayakan terutama berunsur sains dan teknologi,” tambahnya.
Perbarisan kali ini melibatkan dua kontinjen yang terdiri daripada 14 detasmen dan perbarisan tempur diketuai oleh Perajurit Muda Muhammad Nur Yusri Al Ashraf Yussaini.
Seramai 1,339 Perajurit Muda terdiri daripada 1,010 lelaki dan 329 wanita telah berjaya menamatkan latihan selama 6 bulan bermula pada 26 Julai 2024 hingga 1 Februari 2025 di PUSASDA.
Daripada jumlah tersebut, seramai 2 orang Perajurit Muda bekelulusan ijazah manakala 111 lagi pemegang diploma.
Sementelah, Anugerah Keseluruhan Terbaik Lelaki, disandang oleh Perajurit Muda Izhar Iskandar Isnurisyam Hakim; dan Anugerah Keseluruhan Terbaik Wanita disandang oleh Perajurit Muda Nur Atiqah Inani Mohamad Nurihan Iqman
Manakala, Anugerah Terbaik Kawad Lelaki disandang oleh Perajurit Muda Muhammad Shafiq Izri Rosmi dan Wanita pula kepada Perajurit Muda Nurul Natasha Manizam Abdullah.
Tiga anggota TDM, Sarjan V Thamaraj, 29, Sarjan Ahmad Fauzan Abd Hadi, 33, dan Staf Sarjan Mohd Nor Khalid, 41, telah melakar sejarah tersendiri apabila terpilih menerima Anugerah Pisau Tentera Darat.
Anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan tertinggi buat anggota Tentera Darat yang mempamerkan kecemerlangan dan tindakan berani mereka.
SUARA.TV