TLDM terima empat aset baharu bot tempur FIC G2000 Mk II

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima empat aset baharu membabitkan bot tempur dikenali sebagai Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II bagi fasa pertama, hari ini.

Majlis penyerahan secara simbolik itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI), Datuk Jamalolail Mohd Yatim, kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut hadir menyaksikan majlis itu yang berlangsung di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM, di sini.

Bawah projek perolehan berkenaan yang dimeterai dengan syarikat GMI, kesemua empat FIC G2000 Mk II Fasa Pertama itu telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan di Lumut Port Industrial Park, Perak, dan berjaya disempurnakan dalam tempoh 16 bulan.

Abdul Rahman dalam ucapannya pada majlis itu berkata, perolehan FIC G2000 Mk II membabitkan tiga fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan 13 FIC secara berperingkat.

“Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini adalah unik kerana ia turut dilengkapi Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.

“FIC G2000 Mk II sepanjang 18 meter ini juga dilengkapi enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan hingga 52 knot.

“Selain itu, susun atur dalaman FIC ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Konsep Operasi (CONOP) yang telah dibangunkan, FIC itu berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan, terutama di perairan cetek serta berpulau.

“Di samping itu, FIC ini juga akan digunakan bagi menyokong operasi menangani ancaman bukan tradisional dan asimetrik dengan lebih efektif.

“Ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan aktiviti pelanunan, sentiasa membayangi keselamatan perairan negara.

“FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak pantas dalam mencegah aktiviti sedemikian daripada berlaku dalam perairan negara kita,” katanya.

Dua FIC G2000 Mk II yang diterima kali ini akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan, manakala dua lagi ditempatkan di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM.

Ia bagi memperkasakan tahap keselamatan maritim, terutama di perairan Sabah Timur, selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat