KUALA LUMPUR – Gesaan mengembalikan Muafakat Nasional (MN) dianggap belum serius, kata Perdana Menteri.
Justeru Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kerajaan Perpaduan dipimpinnya masih utuh.
Hal demikian beliau memaklumkan, gesaan pemimpin tertentu yang mahukan supaya MN dihidupkan kembali belum berada pada tahap serius.
Anwar sebaliknya menjelaskan, semua parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan sudah memberikan komitmen untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“(Gesaan kembalikan MN) itu belum serius. Saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan (parti) masing-masing.
“Tapi yang penting, sekarang Kerajaan Perpaduan masih utuh,” katanya memetik BH di Petaling Jaya pada Jumaat.
Terdahulu sebelum menunaikan solat Jumaat, Anwar meluangkan masa kira-kira 25 minit makan tengah hari bersama penduduk setempat di sebuah kedai makan di situ.
Menyentuh kemelut Bersatu dan Pas yang mula menarik reaksi positif dalam kalangan parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Umno, Anwar menjelaskan kemelut melanda dua parti pembangkang itu juga tidak memberi sebarang masalah kepada kerajaan diterajuinya.
“Soal idaman dan igauan (parti pembangkang ini), soal dia bercerai berai itu bukanlah masalah saya.
“Itu masalah mereka, (saya) tak campur. Itu masalah Pas dan Bersatu cerai berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Susulan kemelut dalaman antara Bersatu dan Pas baru-baru ini, muncul gesaan dari kalangan pemimpin Umno dan Pas supaya gagasan MN yang sebelum ini diterajui Umno dan Pas dihidupkan kembali.
Setakat ini, gesaan itu hanya disampaikan pemimpin tertentu dalam dua parti berkenaan, belum diputuskan dan menjadi ketetapan rasmi sama ada oleh Umno mahupun Pas.



