KUALA LUMPUR- Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan cubaan penyebaran risalah agama Kristian di tempat awam di Desa Setapak, Wangsa Maju Isnin lalu.
Terdahulu tular satu video berdurasi 54 saat yang memaparkan tiga individu termasuk dua warga asing berkulit putih yang dirakam sedang menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pengadu iaitu individu yang merakam kejadian berkenaan pada malam kejadian.
Ketika ini, polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan kes.
“Laporan polis dibuat pada jam 10.19 malam pada 30 Disember lalu oleh pengadu mengenai video tular tiga individu menyebarkan risalah agama Kristian secara terbuka di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak.
“Pada masa ini usaha mengesan tiga individu terbabit sedang dilakukan bagi membantu siasatan,” memetik laporan media.
Mohamad Lazim berkata pada masa ini kes berkenaan masih disiasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A, Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis KL ditalian 03-21159999 atau datang ke Balai Polis berhampiran.
Dalam video tular itu, pengadu merakam kelibat tiga individu sedang menyebarkan risalah sebelum menegur mereka dengan menyatakan bahawa perbuatan berkenaan adalah salah.
Ketiga-tiga individu terbabit kemudian beredar meninggalkan lokasi.