KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan pihak pengurusan tertinggi diingatkan supaya tidak merahsiakan mahupun melindungi isu buli supaya kes berkenaan disiasat untuk tindakan lanjut.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek meminta supaya pihak terbabit supaya menyelesaikan kejadian itu mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang ditetapkan
“Saya ingin menyatakan pada pihak sekolah khususnya pengetua, guru besar dan guru-guru pentadbir supaya jangan rahsiakan kejadian ini (kes buli).
“Kita juga minta pihak terbabit supaya menyelesaikan kejadian itu mengikut garis panduan pengendalian kes buli yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu Fadhlina juga memaklumkan, KPM sedang menyiasat kes buli beberapa pelajar yang didakwa berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara, baru-baru ini.
Fadhlina berkata pihaknya sudah menerima aduan berhubung perkara itu yang masih di peringkat siasatan.
“Kita dah terima (aduan kes itu), maknanya ia dalam proses siasatan di peringkat KPM untuk tindakan lanjut.
“Tapi kita minta kefahaman daripada masyarakat bahawa ia (kes buli) mesti dilaporkan dan mesti ada tindakan susulan.
“Jadi, kalau ada aduan itu dibuat secara terus kepada portal aduan buli di bawah KPM, jadi tindakan itu akan dapat dilihat dengan lebih jelas,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan, di Putrajaya pada Khamis.
Mengulas mengenai isu ada pengetua yang mempertikaikan tindakan ibu bapa melaporkan kejadian buli di portal aduan buli di bawah KPM, beliau berkata, ia adalah hak ibu bapa untuk berbuat demikian.
“Kenapa pula dia (pengetua berkenaan) mahu persoalkan (tindakan ibu bapa membuat laporan di portal aduan buli di bawah KPM)?
“Saya ingat itu hak ibu bapa. Kalau anak mereka merasakan tidak mendapat keadilan dalam konteks siasatan dan aduan yang didakwa, ibu bapa berhak untuk melanjutkan aduan itu ke peringkat lebih tinggi termasuk pihak berkuasa serta KPM,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi berhubung isu buli dalam kalangan murid serta pelajar sekolah di seluruh negara.
“Kita ambil secara serius semua aduan dibuat sama ada daripada ibu bapa, pihak sekolah atau pelajar itu sendiri.
“Justeru, kita juga mahu masyarakat mengambil serius isu buli dengan aduan mesti disampaikan kepada pihak KPM supaya tindakan boleh diambil,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pelajar senior membuli pelajar junior di sebuah sekolah berasrama penuh di ibu negara dengan mengenakan denda keterlaluan termasuk melakukan aksi ‘commando rest’ selama dua jam selain dipaksa bogel beramai-ramai.
Malah, seorang jurulatih di sekolah ‘ala tentera’ itu juga didakwa pernah ‘memaksa’ pelajar merendam kaki ke dalam baldi berisi air panas menggelegak sejurus selepas selesai latihan sehingga meninggalkan luka lecur tahap dua.