KUALA LUMPUR – Pas hanya ingin menegakkan keadilan untuk Datuk Seri Najib Razak kerana beliau layak untuk diberikan haknya jika wujud sungguh titah adendum.
Sesiapapun yang layak untuk mendapat hak dalam Perlembagaan, akan Pas pertahankan demikian tegas Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut memberi respons balas kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan menegaskas Pas ialah parti manusia.
“Pas tidak pernah mendakwa ia ‘parti malaikat’, apatah lagi jin. Jika Pas dilihat sebagai ‘parti malaikat’ kerana sering bercakap tentang perkara baik, maka itu masalah orang yang menilai, bukan masalah Pas. Boleh jadi orang yang membuat penilaian itu ialah orang yang sering berada dalam lubuk yang tidak baik, maka dia melihat orang yang baik seperti malaikat.
“Pas juga bukan jin, apatah lagi bukan toyol. Toyol walaupun hanya makhluk khurafat, tetapi sesetengah orang percaya, toyol hanya bertindak apabila diarah oleh tuannya. Diarah tuan untuk mencuri, mencurilah ia. Diarah tuan untuk diam, diamlah dia.
“Sesetengah pemimpin perangainya seperti toyol. Ada pemimpin yang berdegar-degar hebat menuntut DAP mohon maaf kononnya kerana melabelkan BN dengan macam-macam tuduhan, akhirnya disergah oleh DAP membisu seribu bahasa.
“Jadi Nur Jazlan jangan bimbang. Pas memang ‘tiada pitih’, tapi Pas tidak akan merompak harta negara untuk mencari ‘pitih’. Duit Pas ada dalam kocek ahli-ahlinya. Jangan pula menjadi toyol untuk mencuri duit Pas,” tegas beliau.
Fadhli mengingatkan, ia seperti orang yang berada dalam gelap malam, melihat orang berlampu lilin pun sudah terang benderang. Sedangkan bagi orang yang berlampu lilin, itu ialah cahaya yang biasa. Apatah lagi jika melihat orang yang berlampu suluh, sudah tentu sangat dicemburui.
“Boleh jadi YB Senator Datuk Nur Jazlan sedang berada dalam gelap malam, meraba-raba mencari cahaya, tertengok jauh lampu suluh sudah pun silau matanya,” ujar beliau.
Sebelum itu, Nur Jazlan menasihatkan ahli partinya agar tidak terpedaya dengan sokongan tiba-tiba Pas terhadap perhimpunan solidariti bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Pemimpin Pas sering cakap macam mereka ni wakil syurga. Tapi bagi saya, Pas bukan ‘malaikat politik’ tapi lebih kepada ‘jin politik’ sebab mereka pandai manipulasi agama demi kepentingan sendiri.
“Fatwa politik mereka berubah ikut selera. Dulu kawan Umno satu jihad untuk ummah tapi bila bermusuh, Umno pula dikafirkan. Sama juga dengan DAP – masa berkawan, DAP bagus; bila bergaduh, DAP jadi komunis,” katanya.
Nur Jazlan juga menyoal motif Pas hendak menjadi pembela Najib dan mengerahkan ahli parti itu turun beramai-ramai pada perhimpunan di Mahkamah Rayuan 6 Januari ini.