KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan adalah lebih baik Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung penjualan air mentah pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen kepada Singapura.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, menerusi penjualan tersebut Singapura telah memperoleh keuntungan lebih RM3.3 bilion (RM3,312,375,000) setahun.
“Memandangkan Malaysia telah menghentikan rundingan untuk menaikkan harga jualan air mentah, kita sebenarnya sedang memberikan subsidi kepada Singapura dengan jumlah yang dinyatakan itu setiap tahun,” katanya dalam catatan pada Khamis.
Beliau juga merujuk kepada kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menggesa supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat pemisahan Singapura dari Malaysia.
Namun, menurut Dr Mahathir saranan Hadi itu tidak relevan memandangkan perkara tersebut sudah terlalu lama berlaku dan kebanyakan individu yang terlibat juga sudah meninggal dunia.
Singapura sebelum ini bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen hingga tahun 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan hingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, republik itu kemudiannya menolak apabila Kerajaan Malaysia dilaporkan mengenakan syarat bahawa Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 hingga 2011.
Dr Mahathir sewaktu menjadi Perdana Menteri pernah membangkitkan isu berkenaan pada pertengahan 2019 dan menyatakan bahawa harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah serta bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.
Perjanjian berkenaan yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.