Oleh Ab Jalil Backer
Ahli-Ahli Parlimen dalam sistem demokrasi mempunyai tanggungjawab menguji setiap rang undang-undang yang hendak diluluskan memenuhi tiga perkara pokok iaitu sama ada ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan, memenuhi kepentingan atau kemaslahatan rakyat dan ia berniat baik.
Petikan popular “the law is an instrument of the state, but it must be used with the aim of maintaining justice, not for the purposes of oppression or arbitrary power” harus menjadi pegangan setiap Ahli Parlimen sebelum mengundi untuk melulus atau menolak RUU Mufti Wilayah yang akan dibaca kali kedua minggu ini.
Dalam tiga artikel sebelum, “Pindaan RUU Mufti Wilayah” (23 Jun 2024), diikuti dengan “RUU Mufti, Anwar dan Madani” (27 Oktober 2024) dan “Kontroversi RUU Mufti Wilayah” (24 November 2024) penulis menyarankan RUU Mufti Wilayah ini perlu ditolak kerana berniat jahat.
Penolakan RUU ini kerana ada unsur perpecahan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bukan pandangan yang ganjil tetapi telah turut dikritik oleh ramai agamawan rentas parti politik antaranya termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua UMNO Bahagian Kangar, Dr Fathul Bari Mat Jahaya, Penasihat khas Menteri Komunikasi, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Terbaharu dalam Forum Sinar Harian awal November lalu, Timbalan Presiden Amanah yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat terdapat intensi atau niat buruk di sebalik RUU ini yang bertujuan menyisihkan kelompok tertentu dan berpotensi membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Mujahid turut mempersoalkan mengapa elemen kerangka ASWJ yang sudah mempunyai kedudukan mantap di negara ini perlu diperincikan dengan mengecualikan aliran ahlul hadis dan Imam Ahmad bin Hanbal yang juga berada dalam tradisi Islam yang sah.
Dalam meneliti RUU MUfti Wilayah ini, Ahli Parlimen perlu mengambil kira ingatan tokoh perundangan Komanwel, Lord Diplock, “The acceptance of the rule of law as a constitutional principle requires that a citizen, before committing himself to any course of action, should be able to know in advance what are the legal consequences that will flow from it.”
Realitinya, RUU Mufti Wilayah ini berisiko untuk disalahgunakan, mencabuli prinsip asas kebebasan seperti mana yang berlaku di Sabah.
Walaupun Enakmen Mufti Negeri Sabah 2004 tidak mensyaratkan seorang mufti mesti berakidah Asyairah dan Maturiddiah, namun kuasa majlis fatwa yang besar telah memberi kesan negatif.
Pada 2017, mufti yang mempunyai pemikiran Asyairah telah mengeluarkan fatwa bahawa hanya akidah dan tasawuf yang bersumberkan Imam Abu Hassan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi sahaja diterima pakai dan mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengamalkan selain daripada tauhid tersebut adalah menjadi suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan.
Anehnya Mufti ini tidak pula berani menghalang penduduk Sabah dari beribadah di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi yang imam-imam mereka beraliran akidah Imam Ahmad Bin Hanbal atau Ahli Sunnah.
Kesulitan Ahli Parlimen
Mungkin sukar untuk Ahli Parlimen Islam menentang secara terbuka kerana sentimen yang dimainkan seolah-olah RUU ini untuk menjaga kesucian Islam.
Sebahagian besar umat Islam yang tidak memahami perbahasan falsafah tauhid ini telah menjadi seperti burung hering yang mengerumuni bangkai apabila bertemu dengan pandangan yang mereka tidak faham seperti tauhid tiga dan manhaj Ahli Sunnah.
Mereka telah ditipu dengan melihat agama seperti demokrasi di mana majoriti setempat adalah kebenaran dan kini menjadi laskar maya yang agresif atas nama agama.
Memohon undi secara sulit adalah jalan terbaik dalam membolehkan semua Ahli Parlimen membuat keputusan yang tepat dalam menjaga kebajikan rakyat bukannya penguasa agama.
Bagi Ahli Parlimen yang waras mereka perlu memikirkan apakah RUU Mufti Wilayah ini wajar diluluskan? Apakah sewajarnya umat ini dipecahbelahkan kerana beberapa pihak berkepentingan dalam Jakim?
Kita semua akan dipertanggungjawab di akhirat nanti.
*Artikel ini dari Sinar Ahad, 1 Disember 2024