SHAH ALAM — Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee mengingatkan akar umbi untuk terus memperkukuh parti dan tidak hanya mengharapkan gelombang untuk menang pada pilihan raya akan datang.
Tegasnya Bersatu perlu menambah keanggotaan ahli serta memperbanyakkan lagi cawangan bagi membantu mempersiapkan parti untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU).
“Macam mana nak menang kalau harap kepada gelombang? kita akan jadi rumah tumpangan. bila kalah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, PRK Mahkota kita katakan itu bukan kerusi kita, tetapi kerusi parti lawan.
“Tetapi kalah di PRK Nenggiri, apa alasan kita? kerusi kita, calon kita, wakil rakyat parti kita tetapi kalah.
“Sebab itu bila kalah, tiada alasan lagi sebab puncanya kita harapkan gelombang.
“Banyakkan cawangan, tarik orang UMNO, PKR, DAP masuk Bersatu, jangan harap gelombang sahaja supaya akhirnya kita boleh tawan Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Putrajaya,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di IDCC Shah Alam, hari ini.
Beliau menambah sokongan terhadap parti tersebut terus diperkukuh apabila merekodkan seramai 600,667 ahli yang melibatkan 202 bahagian dan 7,352 cawangan.