Zahid, Tok Mat Tanya Mat Sabu Macam Mana Nak Ceramah Depan Umno?

- Advertisement -

ROMPIN – Pentas ceramah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) DUN Tioman menyaksikan penampilan sulung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berkongsi majlis dengan matlamat yang sama dan bagi Mohamad Sabu ia sesuatu yang mendebarkan.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Presiden Amanah berkongsi momen ketika beliau makan semeja bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan sewaktu Istiadat Angkat Sumpah Perdana Menteri pada 24 November lalu.

“Hari Datuk Seri Anwar Ibrahim angkat sumpah sebagai Perdana Menteri saya makan satu meja dengan Zahid dan Mohamad, mereka tanya Bang Mat, kami nak dengar macam mana Bang Mat nak ceramah depan Umno? 44 tahun Bang Mat hentam kami macam mana nak ceramah ni?

“Saya kata saya pun tak tahu, where do i begin? di mana nak bermula? kata Mohamad malah beliau mengakui berdebar apabila berkongsi pentas dan dikelilingi rakan-rakan dari Umno kerana ia satu peristiwa baru buatnya namun, tetap mendokong keputusan PH.

Pun begitu, Mohamad berkata, pentas ceramah umum di DUN Tioman malam tadi adalah satu babak baru politik Malaysia.

“Malam ini (tadi) satu babak baru politik Malaysia, kerjasama kita ini masih di peringkat rundingan.

“Maksudnya anak yang lahir ini (PH-BN) kita tak letak nama lagi tapi pasukan kita sedang berbincang antara BN dan PH dan lain-lain parti tentang apa yang kita nak namakan pakatan kita ini.

“Itu serah kepada pimpinan kita,” ujar Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.

Jelas beliau, dalam politik ini boleh berubah kawan mahupun rakan tetapi tidak ubah matlamat dan dasar yang dipegang.

“Sebab itu bila menteri besar Pahang mengatakan tujuan untuk memerintah ini untuk kestabilan dan kemakmuran itulah yang paling diutamakan.

“Dalam mesyuarat PH baru-baru ini diputuskan supaya saya hadir di Tioman ini dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta saya umumkan dalam pilihan raya DUN Tioman PH memberi laluan kepada BN.

“Bukan setakat laluan, bahkan seluruh jentera PH akan bekerja untuk memenangkan calon kita bersama-sama sebab kita kena mulakan era baru politik Malaysia ini,” kaatanya.

Ditanya adakah beliau akan kembali menjawat jawatan Menteri Pertahanan dalam Kabinet yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat ini, Mohamad menyatakan beliau tidak tahu sama ada disenarai ataupun tidak.

“Menteri Pertahanan? Saya tidak tahu apa jawatan, saya tidak tahu dilantik atau tidak.

“Terserah kepada Perdana Menteri dan saya pun tidak bertanya sampai hari ni,” kata Mohamad.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat