Penggabungan Selesai, Idham Nawawi Dilantik Jadi CEO CelcomDigi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd (CelcomDigi) hari ini mengumumkan bahawa Datuk Mohamad Idham Nawawi kini secara rasmi menggalas jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) manakala Albern Murty sebagai Timbalan CEO syarikat itu.

Menurut kenyataan syarikat itu, mereka masing-masing sebelum ini adalah CEO bagi Celcom dan Digi.Com Bhd (Digi).

“Kami turut mengesahkan pelantikan barisan ahli Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan syarikat ini,” kata syarikat telekomunikasi itu.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Lembaga Pengarah Digi mengumumkan bahawa penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd kini selesai.

Sementara itu, Mohamad Idham berkata penggabungan itu akan menawarkan kapasiti lebih kukuh bagi melabur dalam bidang pertumbuhan baharu, membangunkan penyelesaian inovatif dengan memanfaatkan rangkaian generasi kelima (5G), kecerdasan buatan serta Internet Pelbagai Benda selain mewujudkan ekosistem digital lebih mantap bagi negara.

“Penggabungan itu adalah satu detik penting bagi industri telekomunikasi apabila dua organisasi peneraju bergabung kekuatan serta kepakaran bagi membentuk sebuah syarikat Malaysia yang sebenar,” katanya.

Beliau turut berkongsi kesediaan syarikat itu untuk menjayakan matlamat bagi memacu masyarakat serta mencetuskan inovasi baharu selain menarik lebih banyak rakan dan pelabur untuk merancakkan ekonomi digital tempatan.

Menurut kenyataan itu, CelcomDigi kini berkhidmat bagi menampung keperluan digital lebih daripada 20 juta pengguna, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan besar di serata negara.

Syarikat itu akan turut memulakan proses penyepaduan aset-asetnya secara progresif, memanfaatkan rakan kongsi tempatan, vendor serta bakat atau tenaga kerja Malaysia bagi memberi lebih banyak faedah kepada pelanggan menerusi kedudukan rangkaiannya yang berkembang pesat. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,462FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat