Menangkan Tioman, Demi Maruah BN-PH : Wan Rosdy

- Advertisement -

TIOMAN – Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui sedikit terkilan dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah teruk di peringkat Persekutuan.

Susulan itu, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang berharap DUN Tioman mampu menyumbang kerusi ke-17 demi maruah BN dan rakan kerjasama Pakatan Harapan (PH) yang berjiwa besar memberi laluan kepada calon BN di Tioman.

“Pilihan raya baru-baru ini (PRU15) saya tak kecewa cuma terkilan sikit. Hal demikian, kita perlu menang di DUN Tioman ini untuk menjadikan kita seri dengan Perikatan Nasional (PN), 17-17 ini demi maruah kita dan juga PH.Kalau kita menang ini satu petanda yang baik untuk masa depan negara dan juga masa depan negeri Pahang.

“Jika kita tidak menang di Tioman mereka (PN) akan memperlekeh BN kerana Amanah dan PKR dah beri laluan malah menjadi jentera sokongan, itu pun kita masih kalah. Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PH kerana telah sokong kita tanpa syarat,” katanya di program Santai Anak Muda Mukim Pontian bersama Menteri Besar Pahang di Jeti Kuala Pontian, malam tadi.

Pun begitu, Wan Rosdy masih belum berpuas hati dengan momentum sokongan rakyat di DUN Tioman kepada BN, malah beliau mengandaikan sokongan masih 50/50.

Justeru, beliau menyeru anak-anak muda di kawasan itu untuk giat mencari pengundi putih dan membawa mereka keluar mengundi sekali gus memenangkan calon BN Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy menyatakan rasa terkilan dengan pola pengundian pengundi luar Pahang yang menurut beliau tidak cakna dengan manfaat dan bantuan yang disalur Kerajaan Negeri Pahang kepada rakyat di negeri itu.

“Pengundi Pahang yang berhijrah di luar tidak dapat rasa apa yang Kerajaan Pahang telah salur dan usahakan demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, untuk tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak… kita akan ubah strategi, tak boleh lagi guna pendekatan sama. Kita akan buat kajian menyelami denyut nadi rakyat.

“Sesungguh saya telah buat sehabis baik untuk rakyat Pahang, saya sudah kurangkan jumlah hutang Pahang dan sekarang ini saya akan fokus melawan ketirisan dan kebocoran,” tegasnya.

Beliau malah mengingatkan anak-anak muda supaya berusaha sebaik mungkin untuk mencipta kemenangan di DUN Tioman.

“Kita tak mahu nanti orang kata PH dah tarik diri pun kita kalah juga.

“Ingat kita bukan di zon selesa,” ujar Wan Rosdy lagi. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat