KOTA KINABALU, 1 November 2025 – Menjelang Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November 2025, nama Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjadi perhatian pemerhati politik berikutan perbezaan pendapat secara terbuka dengan ketuanya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Kedua-dua tokoh ini mewakili dua wajah berbeza dalam UMNO Sabah — Bung Moktar sebagai pemimpin akar umbi yang lantang dan bersikap konfrontatif, manakala Rahman pula seorang teknokrat berprofil dasar, dikenali dengan pendekatan pragmatik serta kecenderungan bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perbalahan antara Bung dan Rahman adalah rahsia terbuka dalam politik Sabah dan nasional. Ia mungkin berakar daripada pertembungan lama antara Bung Moktar dan mentor Rahman, Tun Musa Aman. Pada suatu ketika dahulu, Bung dan Musa merupakan dua watak penting dalam UMNO Sabah yang sering berkonfrontasi. Kedua-dua mereka pernah berkhidmat di bawah Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak semasa beliau menjadi Ketua Menteri selama dua tahun dalam sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah.
Masa berlalu, Musa menjadi Ketua Menteri, manakala Bung menjadi Ahli Parlimen. Perseteruan itu tidak kelihatan, namun seperti bara dalam sekam.
Pada tahun 2018, Musa Aman dijatuhkan oleh Datuk Seri Shafie Apdal dua hari selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah. Pada tahun 2020, Musa Aman dikatakan berada di sebalik kejatuhan Shafie Apdal tetapi diketepikan oleh Barisan Nasional daripada memimpin semula parti dalam PRN.
Keadaan ini membawa kepada pertelingkahan baharu antara Musa dan Bung, dan Rahman tersepit di tengah-tengah pergolakan itu. Akibatnya, bukan sahaja Musa bersara daripada politik, Rahman yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan antara peneraju usaha autonomi UMNO Sabah juga tidak dicalonkan.
Nama Rahman sekali lagi terkeluar daripada senarai calon BN Sabah dalam Pilihan Raya Umum 2022 sebelum campur tangan saat akhir Presiden parti meletakkan beliau di Parlimen Kota Belud, kerusi yang pernah dimenanginya pada 2013.
Namun pencalonan saat akhir, isu dalaman parti dan populariti Ahli Parlimen sedia ada menyebabkan Rahman kalah.
PRN 2025
Kali ini nama Rahman sekali lagi dikatakan tiada dalam senarai BN Sabah. Bung dari awal telah memberi isyarat hanya akan menawarkan kerusi Sulaman kepada Rahman untuk bertanding menentang Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. Satu lagi kerusi yang dimenangi oleh BN dalam Parlimen Tuaran sebelum ini — Pantai Dalit — dikatakan diberikan kepada calon yang pernah kalah kepada Rahman dalam pemilihan UMNO Bahagian yang lalu.
Langkah ini jelas mahu “membunuh” kerjaya politik Rahman. Sulaman adalah kawasan paling sukar bagi mana-mana calon UMNO kerana bukan sahaja dikuasai Hajiji sejak dalam UMNO lagi, malah jentera GRS dan kerajaan negeri beroperasi sepenuhnya di situ.
Dilema UMNO
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pasti berada dalam dilema. UMNO Sabah tidak memiliki ramai pemimpin yang dilihat rakyat mampu menjadi peneraju negeri dan nasional berikutan kekurangan portfolio nasional dalam kalangan tokoh Sabah. Kekurangan ini bertambah dengan keputusan BN Sabah untuk tidak mencalonkan Datuk Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dalam PRN kali ini.
Akibatnya, satu-satunya nama besar selain Bung Moktar ialah Datuk Seri Salleh Said Keruak. Terdapat khabar angin bahawa Ahmad Zahid pernah cuba merekrut bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi, ke dalam UMNO sebelum ini, namun usaha tersebut menemui halangan daripada dalam UMNO Sabah. Ruji kemudian ditawarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menyertai PKR.
Usaha menyingkirkan Rahman memberi dilema besar kepada Ahmad Zahid. Rahman ialah antara nama yang telah dikenali dan diakui mempunyai nilai kepimpinan dan pengalaman pentadbiran bertaraf nasional. Mungkin Rahman bukan wakil rakyat rumah kenduri atau “YB Salam”, tetapi beliau tetap menjadi nilai kredit kepada naratif UMNO-BN untuk kembali memerintah Sabah.
Tersingkir atau Tempasuk
Sumber UMNO Sabah menyatakan Rahman tiada dalam senarai calon. Ketiadaan Rahman dalam beberapa perjumpaan terakhir parti tersebut tampak mengesahkan laporan itu.
Namun sumber di UMNO Pusat mendakwa nama Rahman masih dalam pertimbangan Presiden parti. Walaupun UMNO Sabah mempunyai kuasa autonomi, namun ia bukanlah kuasa mutlak bagi Bung Moktar. Presiden masih mempunyai kuasa berunding sama ada dengan Bung atau Ketua Bahagian yang terlibat.
“Rahman kemungkinan akan dicalonkan di Tempasuk, dalam Parlimen Kota Belud, untuk bertanding menentang protegenya, Datuk Arsad Bistari, yang kini merupakan ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dan akan bertanding atas tiket gabungan itu,” ujar sumber UMNO Pusat.
DUN Tempasuk adalah pilihan kedua selepas Pantai Dalit dalam Parlimen Tuaran. Perkhidmatan Rahman sebagai Ahli Parlimen Kota Belud semasa menjadi Menteri Persekutuan pasti akan menjadi taruhan terbaik untuk memenangi hati pengundi di sana.
Malah dalam PRU 2022, walaupun tewas, Rahman menang di kebanyakan peti undi dalam DUN Tempasuk — mencerminkan ia masih padang pertarungan yang adil untuk Rahman berbanding Sulaman.
Namun ada cabaran dan risiko lain. Di Kota Belud, selain Ketua UMNO Bahagian, Azuwan Marjan Norjan, Salleh Said Keruak juga tokoh berpengaruh yang boleh mempengaruhi pengundi. Tanpa sokongan kedua-dua tokoh ini, Rahman akan berhadapan cabaran sukar di sana.
Satu lagi faktor ialah, dalam PRU 2022, Rahman turut mendapat sokongan GRS ketika itu. Namun kali ini, selain berdepan Warisan, Rahman juga perlu menghadapi GRS dan penyandang jawatan, Arsad Bistari.
Nasib Timbalan Ketua UMNO Sabah
Sebagai Timbalan Ketua UMNO Sabah, penyingkiran Abdul Rahman daripada senarai calon bakal memberi kesan besar kepada imej parti.
Ia boleh ditafsirkan sebagai pengurangan ruang kepada tokoh moderat dalam UMNO, sekali gus menjejaskan usaha menarik semula pengundi bandar dan kelas menengah yang cenderung kepada politik stabil.
Sama ada Rahman akan “tersingkir” atau “mendarat di Tempasuk”, PRN kali ini bukan sekadar pertarungan antara parti, tetapi juga medan menentukan sama ada UMNO Sabah mampu bersatu. Jika UMNO Sabah sendiri berpecah-belah, bagaimana mereka mahu meyakinkan pengundi bahawa mereka layak memimpin negeri selepas PRN nanti?
Abdul Rahman Dahlan mungkin sudah menjangkakan apa yang bakal berlaku. Dalam beberapa kenyataan media, beliau menyebut bahawa “politik bukan soal jawatan, tetapi tanggungjawab terhadap negeri dan rakyat.”
Namun di bumi Sabah yang penuh liku, tanggungjawab itu kadang-kadang datang dengan harga yang sangat mahal.



