Hanya tiga peratus rakyat Malaysia mampu tampung persaraan – KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengeluaran berkaitan dengan COVID-19 sejak dua tahun lepas telah memberi impak besar kepada simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan hanya tiga peratus pencarum mampu menampung kehidupan selepas bersara.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata ramai ahli berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP yang amat rendah susulan pengeluaran berkaitan COVID, iaitu i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Walaupun dengan pandemik COVID-19, 80 peratus lelaki Malaysia dan 90 peratus wanita Malaysia akan mencapai umur 60 tahun, manakala satu daripada tiga lelaki dan dua daripada tiga wanita akan mencapai umur 80 tahun.

“Kini, kami menganggarkan hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang mampu untuk bersara,” katanya pada webinar Siri Penceramah Persatuan Alumni Felow Perdana hari ini.

Beliau merupakan antara ahli panel dalam webinar yang mengupas tajuk ‘Penjagaan Kesihatan dalam Tumpuan’ itu.

Dalam pembentangannya, Nurhisham berkata menjelang akhir tahun ini, 54 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun akan mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun simpanan mereka.

Majoriti mereka yang mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencecah umur 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun, katanya.

Namun, beliau mengakui pengeluaran-pengeluaran itu adalah dibenarkan disebabkan keadaan yang luar biasa.

“Kami amat bersimpati dengan nasib ahli kami dan berharap (pengeluaran) itu telah mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk membantu mereka dari segi kewangan.

“(Melangkah ke hadapan,) pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi ahli kami,” katanya.

Mengulas mengenai kesan sekiranya satu lagi pusingan pengeluaran dibenarkan, Nurhisham berkata bagi yang telah membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP, mereka perlu bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata mereka tidak akan mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara memandangkan had umur persaraan dijangka tidak dinaikkan.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat