HANDS persembahkan Camaraderie  Irama yang menyatukan jiwa

14–16 November 2025, PJ Performing Arts Centre (PJPAC, 1 Utama)

Irama bukan sekadar bunyi. Ia adalah nafas, denyut, dan ikatan yang menyatukan manusia melampaui sempadan masa, bahasa, dan budaya. Dari situlah lahir Camaraderie, produksi terbaharu oleh HANDS Percussion, yang akan dipentaskan dari 14 hingga 16 November 2025 di PJ Performing Arts Centre (PJPAC, 1 Utama).

Diambil daripada perkataan Perancis yang bermaksud semangat saling percaya dan hubungan lebih mendalam daripada sekadar persahabatan, Camaraderie mengajak penonton menyelami makna kebersamaan: bagaimana memori, tradisi, dan generasi bertemu dalam satu pentas yang berdenyut dengan ritma.

Seperti pohon yang tumbuh dengan dahan baharu, karya klasik HANDS akan kembali, namun dengan wajah yang segar. Bersama ITA Ensemble, mereka menyulam tradisi dengan eksperimen moden remix elektronik yang berpadu dengan hentakan drum, mencipta tekstur bunyi baharu, seolah-olah membuka pintu antara dunia lama dan dunia kini.

Dua karya baharu menjadi inti hati produksi ini:

Yang pertama, Kenangan, digubah oleh Teuku Umar, sahabat lama dan pengasas Gangsapura Gamelan. Ia adalah kisah 17 tahun persahabatan, dirakamkan melalui gema gamelan Melayu yang halus namun penuh daya.

Yang kedua, sebuah karya berinspirasikan budaya Teochew, yang mengangkat mitologi dan warisan menjadi dialog ritma antara tradisi dan kemodenan. Ia adalah jambatan dari akar leluhur menuju ke masa depan.

Mungkin detik paling menggetarkan jiwa dalam Camaraderie adalah tatkala Timbalan Pemimpin HANDS, Jimmy Ch’ng, berdiri di sisi anak perempuannya di pentas. Dalam dentuman drum itu, bukan sahaja irama yang diperdengarkan, tetapi juga kasih, warisan, dan kesinambungan.

Generasi baharu turut tampil. Yanhou, yang mula bermain drum ketika berusia lima tahun, kini, pada usia sepuluh tahun, akan menyertai persembahan ini sebagai salah seorang anggota termuda. Kehadirannya adalah simbol obor seni yang terus berpindah dari tangan ke tangan, dari jiwa ke jiwa.

Camaraderie juga membuka ruang untuk pelbagai instrumen berdialog: selo yang lembut, guzheng yang beralun, gamelan yang bergetar, dan tentunya, perkusi DeafBeat kumpulan pemuzik pekak pertama di Malaysia. Dalam pertemuan ini, bunyi bukan lagi hanya tentang apa yang kita dengar, tetapi tentang apa yang kita rasa.

Bagi Bernard Goh, pengasas dan pengarah artistik HANDS Percussion, Camaraderie adalah lebih daripada sebuah konsert. Ia adalah cermin perjalanan hidup  penuh cabaran, persahabatan, dan kasih sayang.

“Lebih 30 tahun lalu, saya hanyalah pelajar sekolah menengah di Seremban. Bermain drum pada ketika itu dianggap pelik, malah bising. Kami pernah dihalau, pernah dilempar sampah ketika berlatih. Namun di situlah semangat saya ditempa. Saya ingin membina sesuatu yang berakar di bumi Malaysia tetapi berbicara dalam bahasa sejagat.

Camaraderie adalah penghormatan. Untuk keluarga, rakan seperjuangan, komposer, dan anak-anak seni yang bersama-sama berjalan di laluan ini. Ia adalah kisah persahabatan yang membesar bersama usia. Ada antara anggota kami yang menyertai sejak umur 12 tahun, kini bergelar bapa, dan bakal berdiri di pentas bersama anaknya. Inilah makna warisan yang sebenar.

Pandemik COVID-19 mengajar kita satu hal penting: seni hanya boleh bertahan jika kita saling menyokong. Inilah semangat camaraderie  semangat persaudaraan, kepercayaan, dan kebersamaan yang menjadikan muzik lebih daripada sekadar bunyi.

Saya berharap setiap hentakan, setiap gema, setiap detik dalam persembahan ini akan menyentuh hati anda, sebagaimana ia telah menyentuh hidup kami.”

Tarikh dan Masa:

November 14 (Fri) – 8:00PM
November 15 (Sat) – 3:00PM & 8:00PM
November 16 (Sun) – 11:00AM & 4:00PM

Venue: PJ Performing Arts Centre (PJPAC, 1 Utama)
Ticket Prices: RM88, RM128, RM188, RM268

Tiket boleh didapati melalui: onetix.com.my/events/camaraderie-hands-percussion-concert-2025/463

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat