Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR -Ibarat ‘Sirih Pulang ke Gagang ’ akhirnya selepas lebih lapan dekad berada di luar Malaysia, khazanah warisan arkeologi negara yang tersimpan di Belanda, koleksi rangka manusia prasejarah dari Tapak Arkeologi Guar Kepah, Pulau Pinang berjaya dibawa pulang ke tanah air.
Usaha ini diterajui oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN), dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
MOTAC menerusi kenyataannya memaklumkan, pemulangan ini mencerminkan kejayaan diplomasi budaya Malaysia serta tekad Kerajaan MADANI memperkukuh jati diri nasional melalui pemeliharaan sejarah dan warisan bangsa.
Katanya, majlis penyerahan rasmi koleksi bersejarah ini berlangsung di Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda, The Hague, baru-baru ini.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, bersama Duta Besar Malaysia ke Belanda, Tuan Yang Terutama Dato’ Roseli Abdul; Ketua Pengarah JWN merangkap Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin serta pegawai berkaitan.
“Sesi menandatangani Acknowledgement of Transfer (AoT) oleh wakil kedua-dua negara menjadi simbol kejayaan diplomasi budaya ini, yang memperkukuh hubungan bilateral Malaysia-Belanda.
“Proses pemulangan bermula pada 2021 setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyatakan hasrat mempamerkan koleksi ini di Galeri Arkeologi Guar Kepah yang sedang dibangunkan di Seberang Perai Utara, ”kata kenyataan itu lagi.
Menurutnya, sejak Mac 2023, beberapa siri rundingan telah dijalankan sebelum Kerajaan Belanda bersetuju memulangkan koleksi ini melalui surat rasmi State Secretary for Culture and Media kepada Duta Besar Malaysia.
Ujarnya, sepanjang hampir empat tahun, JWN bersama Kementerian Luar Negeri dan agensi berkaitan berusaha memastikan pemulangan ini mematuhi prosedur perundangan kedua-dua negara.
MOTAC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Belanda dan Kementerian Pendidikan, Budaya dan Sains Belanda atas persetujuan serta ketangkasan dalam pemulangan koleksi berharga ini.
Penghargaan turut ditujukan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kementerian Luar Negeri; Kedutaan Besar Malaysia di Belanda, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Jabatan Peguam Negara; Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) serta semua pihak yang memastikan kelancaran proses ini.
“Kejayaan ini jelas melambangkan semangat MADANI yang menitikberatkan keberdayaan, akauntabiliti, kesejahteraan, keterangkuman dan saling hormat-menghormati.
“Ia mencerminkan nilai ketelusan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan warisan sejarah tidak terpinggir, malah dikembalikan untuk tatapan rakyat Malaysia, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, inisiatif ini turut mengukuhkan kemampanan budaya, memupuk keterangkuman masyarakat dan memperlihatkan kerjasama erat antara kerajaan pusat, negeri serta rakan antarabangsa demi kesejahteraan generasi masa depan.
“Koleksi Guar Kepah ini akan ditempatkan di Galeri Arkeologi Guar Kepah mulai September 2025, bakal menjadi produk arkeopelancongan utama negara serta pusat interpretasi dan pendidikan warisan prasejarah.
“Ia diharap menjadi tarikan berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2026), sekali gus memperkukuh aspirasi MADANI dalam memartabatkan jati diri nasional, memperkasa nilai budaya dan mengangkat sejarah negara sebagai sumber kekuatan bangsa, ”tambahnya lagi. -SUARA.TV



