PRU-15: Mampukah PKR pertahan Lembah Pantai?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, PKR buat pertama kali menampilkan Fahmi Fazil sebagai calon bagi menggantikan Nurul Izzah Anwar berjaya mengekalkan kerusi parlimen Lembah Pantai dengan majoriti 5,598 undi.

Pada ketika itu, Fahmi berdepan dengan dua lagi calon iaitu dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta dari PAS, Fauzi Abu Bakar.

Meskipun baru pertama kali bertanding dan jika dilihat dari segi umur, jauh lagi muda dari dua calon yang lain, namun Fahmi dapat mengalahkan Raja Nong Chik yang mendapat 27,715 undi serta Fauzi hanya 5,277 undi.

Faktor ‘pengganti’ Nurul Izzah dan iklim politik semasa pada ketika itu memainkan peranan besar bagi kemenangan Fahmi.
Pada PRU-14, Nurul Izzah perlu bertanding di Permatang Pauh dan isu yang menjadi ‘bullet point’ Pakatan Harapan (PH) pada waktu itu ialah kes 1MDB serta penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam PH dan penggunaan satu logo yang sama oleh semua parti gabungan itu.

Jika dilihat sejak 2008, ketika PKR buat pertama kali menawan Lembah Pantai daripada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Nurul Izzah mendapat majoriti 2,895 undi dan pada pilihan raya 2013, puteri reformasi itu hanya mendapat majoriti kira-kira 1,847 undi.

Pada PRU-15 pula, BN berkemungkinan akan meletakkan calon anak tempatan yang telah lama berkhidmat di Lembah Pantai.

SuaraTV difahamkan, nama yang naik ketika ini sebagai calon merupakan Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai yang juga Setiausaha Kerja Wilayah Persekutuan, Datuk Ramlan Askolani.

Ramlan yang pernah menjadi pemain bola sepak kebangsaan pada tahun 80-an itu telah aktif menjadi ahli politik di Lembah Pantai sejak tahun 1990 dan bermula sebagai ketua pemuda bahagian.

Ketika ditanya tentang persediaan menghadapi PRU-15, Ramlan berkata pihaknya telah bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya Parlimen dibubar pada bila-bila masa.

Walaupun namanya baru diperingkat dicalonkan oleh bahagian, namun Ramlan berharap agar penduduk Lembah Pantai dapat menilai segala kerja dan sumbangan yang telah dilakukan oleh BN di kawasan berkenaan.

“Sekiranya nama saya sebagai calon, saya bersedia dan akan all out.

“Saya dah bekerja di Lembah Pantai dari dulu lagi. Ini bukan retorik. Saya harap masyarakat dapat menilai.

“Apapun kita bersedia dan bersemangat untuk dapatkan balik (Parlimen Lembah Pantai),” kata Ramlan.

Sementara itu, bagi Fahmi pula, beliau tidak memandang ringan walau siapapun yang beliau perlu berdepan sama ada daripada BN, PAS atau mana-mana calon.

Bagi Fahmi, beliau merasakan dirinya hanyalah calon ‘underdog’ kerana tidak mempunyai jentera yang pelbagai berbanding BN.

“Kita hanyalah ‘underdog’. Tak ada jentera yang hebat-hebat. Tapi kita tak akan pandang ringan dan akan bekerja kuat,” ujar Fahmi.

Selain itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH turut memberitahu, ekoran perkembangan isu politik baru-baru ini ia diharap memberi harapan positif untuk sekali lagi manawan Putrajaya.

“Dengan kes-kes seperti SRC International, saya lihat ia perkembangan positif (buat PH) dan kita akan terus mendampingi (rakyat) untuk beri keyakinan pada mereka.

“Ia bukan sahaja untuk PH di kawasan Lembah Pantai tetapi ke seluruh negara. Kita bukan sahaja lebih bersih dan tak terlibat dengan sebarang kes seperti kes rasuah tetapi kita juga bersedia membawa idea baru dan kreatif dan ia diharapkan akan mampu membawa kita terus ke Putrajaya,” katanya.

Berdasarkan rekod pada PRU-14, jumlah keseluruhan pengundi di Lembah Pantai seramai 80,346 pengundi dengan 63 peratus terdiri daripada pengundi Melayu, Cina 19 peratus, India 16 peratus dan lain-lain 2 peratus.

Jumlah pengundi naik sebanyak 7,950 pengundi berbanding PRU-13.

Antara faktor kenaikan itu dipercayai disebabkan persempadanan semula yang dilaksana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2018 apabila ia menyaksikan tiga daerah mengundi dipindahkan dan turut mendapat pertambahan daerah mengundi iaitu dari Tasik Perdana sebanyak 6,598 bilangan pengundi.

Sejak diwujudkan pada 1984, kerusi Parlimen Lembah Pantai disandang UMNO sehinggalah pada PRU-12, Nurul Izzah membuat kemunculan buat pertama kalinya mengalahkan Shahrizat yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal.

Walaupun ada kemungkinan pertandingan tiga atau empat penjuru di Lembah Pantai, namun tumpuan sentiasa kepada BN dan PH.

Jika BN menamakan Ramlan sebagai calonnya, besar kemungkinan ia menjadi saingan sengit bagi PH berikutan nama pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) itu bukan lagi asing di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, PH juga dijangka dapat mengekalkan kerusi Parlimen Lembah Pantai memandangkan isu-isu seperti bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dipenjarakan serta ‘kluster mahkamah’ yang masih lagi berlangsung akan sentiasa digunakan menjelang pilihan raya umum.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat