30 tahun pemergian Sudir

- Advertisement -

SELAMA ini peminat hanya kenal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menerusi lagu nyanyiannya serta latar belakangnya menerusi pembacaan serta medium internet.

Bagaimanapun, mereka berpeluang ‘mendekati’ penghibur Nombor 1 Asia ini menerusi pameran khas, Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia.

Pameran anjuran Kamura Enterprise yang bekerjasama dengan Fahrenheit88 serta mendapat sokongan Arkib Negara Malaysia (ANM) ini berlangsung di pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang baru-baru ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia yang dibuka secara percuma ini menjadi medan terbaik untuk peminat mengenali siapa sebenarnya penyanyi yang mengalahkan penyanyi legenda Hong Kong, Leslie Cheung dan superstar dari Singapura, Anita Sarawak pada Asian Popular Music Awards yang berlangsung di Royal Albert Hall, London pada 19 Mac 1989.

Anak saudara Allahyarham, Razman Azrai Zainuddin atau Atai berterima kasih kepada pihak yang terbabit dalam usaha mengenang jasa arwah bapa saudaranya.

“Selepas 30 tahun, pameran ini julung kali diadakan kepada peminat. Saya berasakan pameran ini sepatutnya sudah lama diadakan.

“Agak sukar sekiranya kami nak adakan pameran besar begini. Lagipun nak buat secara individu agak susah. Pertamanya sebagai ahli keluarga rasanya tak molek.

“Ia sepatutnya dari pihak yang meminati manakala pihak keluarga hanya beri sokongan,” katanya.

Menerusi pameran ini, peminat boleh melihat khazanah berharga milik arwah yang tidak pernah ditunjukkan sebelum ini.

“Saya percaya jika dia masih ada, ini yang arwah inginkan. Beliau mahu peminat melihat koleksi peribadi miliknya.

“Keluarga kami turut berbesar hati berkongsi beberapa barangan koleksi peribadi arwah untuk tatapan peminat.

 

TENGKU Hassanal hadir merasmikan Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia. FOTO Rohanis Shukri
TENGKU Hassanal hadir merasmikan Warisan Sudir: Tribute Kepada Penghibur Nombor 1 Asia. FOTO Rohanis Shukri

 

“Saya mewakili keluarga menyerahkan beberapa gambar dan sijil milik arwah. Macam-macam lagi lebih 10 barang,” katanya.

Menurutnya, pameran ini turut menjual cenderahati keluaran Kamura dan 15 peratus hasil akan disumbangkan kepada keluarga Sudirman dan wang ini digunakan untuk kerja amal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kamura, Syarifah Afwatul Hasanah Mamat pula berkata, pihaknya menganjurkan pameran ini khas sempena 30 tahun pemergian Sudirman.

“Kami juga hasilkan barangan jenama Sudirman dan hasilnya turut disumbangkan kepada keluarganya untuk kerja kebajikan.

“Selepas ini kami rancang nak buat galeri Datuk Sudirman yang kekal dengan kerjasama pihak keluarganya,” katanya.

Penyanyi, pelakon dan pelawak popular, Yassin Yahya yang membantu menggerakkan pameran ini menerusi syarikatnya Yasstar Production, bersyukur dapat merealisasikan pameran sebesar ini.

 

ATAI. FOTO Rohanis Shukri
ATAI. FOTO Rohanis Shukri

 

“Ia langkah awal untuk rujukan generasi seterusnya dan bakal dijadikan acara tahunan. Ia juga sebagai sumbangan saya, penggiat seni kepada Allahyarham Sudirman,” katanya.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadir merasmikan pameran berkenaan.

Baginda diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Pengarah ANM, Jaafar Sidek Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Fahrenheit88, Datuk Joyce Yap.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat