Pulau Bunting Kini Hab Industri Petroleum Berasaskan Gas Asli Cecair – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini merasmikan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting, di Yan, Kedah bernilai RM14.4 bilion.

Kata beliau, projek berskala mega itu diyakini mampu mengubah landskap sosioekonomi penduduk di daerah itu.

“Sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), saya gembira dengan keputusan Kumpulan MMC mahu melabur di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor
Utara (NCER) ini, sekali gus mengubah landskap sosioekonomi penduduknya.

“Terima kasih juga kepada Kumpulan MMC kerana melabur untuk projek ini. Saya yakin pelaburan ini mampu melonjakkan nama Yan dan Negeri Kedah khususnya, sebagai hab industri petroleum terutama yang berasaskan gas asli cecair (LNG) di rantau ini,” ucap Perdana Menteri di Yan pada Khamis.

Pada Februari lepas, Ismail Sabri berkata beliau merasmikan Projek Strategik NCER – Rubber City bernilai RM10 bilion di Padang Terap.

“Pelancaran dua projek pelaburan mega kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion, menunjukkan Negeri Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat.

“Sememangnya menjadi agenda kerajaan untuk membangunkan seluruh pelosok negara supaya tiada ahli Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negara,” ujar beliau.

Kata Perdana Menteri lagi, usaha ini menunjukkan setiap negeri mendapat layanan sama rata dan peluang ekonomi disebar luas ke seluruh negara terutamanya kawasan-kawasan yang sebelum ini terlepas daripada arus kemajuan yang pesat.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Jana Kuasa Pulau Bunting yang melibatkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di kawasan utara.

“Komponen terbabit melibatkan Hab STS Yan yang akan menyediakan perkhidmatan pemindahan kargo produk petroleum, terutamanya gas asli cecair (LNG), secara ship- to-ship.

“Saya yakin dengan kedudukan daerah Yan yang strategik, iaitu di pintu masuk utara Selat Melaka, ia mampu menjadi hab serantau di Asia Tenggara bagi aktiviti perdagangan dan simpanan LNG serta pengimportan LNG bagi kegunaan domestik,” jelas Ismail Sabri lagi.

Tambah beliau, komponen kedua yang bakal dibina di sini ialah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara Semenanjung.

“Kesemua prasarana ini penting jika kita mahu menjadikan Negeri Kedah terutama kawasan tengah negeri ini menjadi sebagai sebuah destinasi pelaburan dan perindustrian untuk jangka masa panjang.

“Komponen yang ketiga adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung atau Floating Storage and Regassification Unit (FSRU) ataupun Floating Storage Unit (FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.

“Ini merupakan sebuah kemudahan bebas yang membenarkan pihak pengimport membawa masuk gas asli cecair untuk pengguna di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, RGT Yan menawarkan prasarana lengkap bagi bekalan, import, perdagangan, peruncitan dan penggunaan gas asli yang lebih cekap dan kos efektif di Semenanjung Malaysia terutamanya di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) ini.

“Saya percaya RGT Yan dapat menggalakkan aktiviti ekonomi yang mampan kepada Semenanjung Malaysia terutama di daerah Yan dan wilayah utara sekali gus meningkatkan taraf hidup dan landskap sosioekonomi penduduk di kawasan ini.

“Selain bakal berubah seperti daerah Pengerang di Johor yang asalnya merupakan sebuah perkampungan nelayan, yang kemudiannya membangun pesat sebagai kawasan perindustrian, penduduk Yan terutamanya, golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan,” kata Ismail Sabri.

Juga jelas beliau lagi, bagi memastikan pengeluaran hasil padi negara bertambah, pihak MMC turut membantu menaik taraf sistem pengairan di kawasan tanaman padi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat