Hukuman terhadap Rosmah kembalikan keadilan buat rakyat Sarawak, bukti kebebasan badan kehakiman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atas Datin Seri Rosmah Mansor disifatkan sebagai permulaan untuk mengembalikan keadilan untuk rakyat Sarawak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Chiew Choon Man berkata, keputusan mahkamah hari ini jelas mencerminkan sikap pemimpin politik dan sekutunya yang sanggup menggadaikan nasib rakyat dan generasi akan datang hanya untuk memenuhi nafsu diri mereka.

Kata Choon Man lagi, mereka ini yang tidak mengerti nilai amanah, kejujuran dan integriti sehingga sanggup membiarkan anak-anak belajar dalam keadaan yang tidak selesa dan tidak selamat, asalkan mereka dapat terus hidup dalam kemewahan yang melampau.

“Wang tersebut merupakan upah untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan projek pembekalan elektrik melalui solar serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

“Seperti yang kita sedia maklum, banyak sekolah di Sarawak terutamanya dari kawasan luar bandar berada dalam keadaan yang usang dan kekurangan kelengkapan serta kemudahan asas.

“Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih terdapat sebanyak 351 bangunan sekolah daif di Sarawak. Daripada jumlah ini, sebanyak 107 sekolah yang disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai bangunan yang tidak selamat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Choon Man menambah, keputusan mahkamah pada hari ini sekali lagi memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia terhadap kebebasan badan kehakiman dan kewibawaan institusi penguatkuasa di negara kita.

Namun menurut beliau lagi, ini juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia terutamanya rakyat Sarawak sekali lagi dikhianati oleh pemimpin politik atau sekutunya daripada Barisan Nasional (BN).

Isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah yang didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman untuk rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas dua tuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat