ITC perjelas peranan dan skop pengiktirafan MFAR

Oleh Zihan Zari

PUTRAJAYA – Islamic Tourism Centre (ITC) dalam kenyataannya telah mengambil maklum perbincangan yang timbul di media sosial berhubung penggunaan istilah Mesra Muslim (Muslim-Friendly) serta persoalan berkaitan skop dan pemahaman konsep tersebut dalam kalangan masyarakat.

“ITC menghargai pandangan yang dikemukakan kerana ia memberi ruang untuk menjelaskan fungsi dan skop Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) agar masyarakat memperoleh maklumat yang tepat serta tidak terkeliru.

“Istilah Muslim-Friendly mula berkembang di peringkat antarabangsa sekitar penghujung tahun 2000-an dalam industri pelancongan dan hospitaliti, seiring dengan peningkatan permintaan terhadap pengalaman perjalanan yang mengambil kira keperluan pelancong Muslim.

“Konsep ini merujuk kepada penyediaan kemudahan, perkhidmatan dan pengalaman pelancongan yang lebih menyeluruh untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim, tanpa mengubah atau menggantikan keperluan pensijilan halal yang sedia ada, ”kata kenyataan itu.

Katanya, selaras dengan perkembangan tersebut, ITC telah membangunkan kerangka Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH) serta memperkenalkan MFAR sebagai program pengiktirafan rasmi bagi produk dan perkhidmatan pelancongan serta hospitaliti di Malaysia.

“MFAR merupakan pengiktirafan yang diberikan berdasarkan garis panduan yang dibangunkan oleh ITC bagi memastikan produk dan perkhidmatan pelancongan memenuhi elemen mesra Muslim.

“Skop MFAR merangkumi antaranya penginapan pelancongan, syarikat agensi pelancongan, premis spa dan kesejahteraan, serta produk dan perkhidmatan lain dalam ekosistem pelancongan dan hospitaliti.

“Bagi premis pelancongan dan hospitaliti yang menyediakan makanan dan minuman, pematuhan terhadap keperluan pensijilan Halal Malaysia merupakan antara elemen yang diberi perhatian dalam proses pengiktirafan MFAR,”katanya lagi.

Ujarnya, ITC sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan pelaksanaan MFAR selaras dengan ekosistem halal negara.

“Tujuan utama MFAR adalah untuk menyediakan pengalaman pelancongan yang selesa, selamat dan berteraskan prinsip Islam kepada pelancong Muslim melalui penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang bersesuaian, termasuk aspek seperti kemudahan ibadah, keselesaan pelancong, penyediaan makanan halal serta elemen-elemen lain yang menyokong pengalaman perjalanan yang lebih baik.

“MFAR turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila pendekatan ini telah diterima pakai di beberapa destinasi luar negara termasuk Rusia dan Taiwan,”ujarnya lagi.

Tambahnya, perkembangan ini membuktikan bahawa MFAR bukan sahaja relevan dalam konteks Malaysia, malah menjadi rujukan dalam memperkukuh penyediaan perkhidmatan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim di peringkat global.

“Selain itu, pembangunan ekosistem MFTH telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, apabila Malaysia terus diiktiraf sebagai destinasi Pelancongan Mesra Muslim nombor satu dunia selama 11 tahun berturut-turut.

“Adalah penting untuk dijelaskan bahawa MFAR bukan merupakan badan pensijilan Halal dan tidak menggantikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Sebaliknya, MFAR melengkapkan ekosistem halal negara dengan mengiktiraf perniagaan pelancongan dan hospitaliti yang mengambil kira keperluan pelancong Muslim, ”tambahnya lagi.

Dalam pada itu, pelaksanaan MFAR dilaksanakan secara berstruktur melalui pembangunan garis panduan, penyediaan latihan, proses pematuhan, penilaian serta pengesahan oleh pihak berkaitan bagi memastikan integriti dan kredibiliti pengiktirafan ini.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang ditubuhkan pada tahun 2009 dengan mandat membangunkan ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim.

“ITC komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang diyakini di peringkat global.

“ITC menggalakkan orang ramai dan pihak berkepentingan untuk merujuk kepada saluran rasmi ITC bagi mendapatkan maklumat yang sahih mengenai MFAR serta memahami skop pengiktirafan ini berdasarkan tujuan dan kriteria yang telah ditetapkan, ”tambah kenyataan itu lagi. -SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat