KUALA LUMPUR – Penurunan tarif tarif timbal balas ke atas eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
Menteri Pelabauran, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengurangan kadar tarif 6 peratus ini telah dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara, membolehkan Malaysia terus melaksanakan dasar-dasar penting untuk menyokong pertumbuhan sosio-ekonomi.
“Dari 25 ke 19 peratus. Syukur, rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuahkan hasil positif.
“Setelah mengadakan rundingan yang kompleks sejak 6 Mei 2025, AS telah bersetuju untuk menurunkan tarif timbal balas ke atas eksport kita dari 25 kepada 19 peratus mulai 1 Ogos 2025.
“Keputusan ini adalah bukti hubungan ekonomi yang kukuh dan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang yang boleh dipercayai,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, jentera di MITI akan terus bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memastikan kita dapat meminimumkan kesan tarif ini dan pada masa yang sama, meneroka peluang baharu untuk syarikat Malaysia, terutamanya PKS.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini.
“Bersama-sama, kita akan terus memacu potensi global Malaysia,” ujar beliau.



