Bekas Kontraktor Rayu Sumbangan Tampung Kos Rawatan Mata

- Advertisement -

KLANG – Seorang bekas kontraktor merayu sumbangan dana bagi menampung kos rawatan kedua-dua matanya yang kini kabur selepas diserang penyakit angin ahmar sejak Mei tahun lalu.

Mohd. Nasir Zakaria, 50, kini hanya mampu terbaring lesu di atas katil di rumahnya di Kampung Rantau Panjang di sini, selepas tidak mampu lagi bekerja lebih-lebih lagi sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama ketika itu.

“Buah pinggang saya juga kini berada pada tahap tiga sebelum perlu rawatan lanjut. Ini yang lebih membimbangkan hati saya. Buat masa ini saya ingin merayu bantuan rawatan mata yang semakin kabur akibat glaukoma.

“Kos sekitar RM3,000 hingga RM15,000 untuk rawatan segera secara suntikan di hospital,” katanya ketika disantuni Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kapar di rumahnya hari ini.

Tambahnya, sebelum ini anak lelakinya yang berusia 25 tahun membantu kewangan keluarga dan membawanya ke hospital setiap kali berjumpa doktor, bagaimanapun selepas anak lelakinya berkahwin dan mempunyai komitmen lain, menyebabkan keluarganya berhadapan kekurangan untuk menampung kos sara hidup dan rawatan.

“Selepas perniagaan kontraktor saya merosot tahun lalu, sebelum PKP 1.0 saya dan isteri, Sarbi Shafie,46, berniaga Chicken Chop Bajet di tepi jalan. Sebulan boleh dapat RM1,000 tetapi sejak saya sakit perniagaan tersebut tidak dapat diteruskan hingga ke hari ini.

“Bantuan kewangan bulanan Lembaga Zakat Selangor (LZS) juga sudah dipohon tahun lepas dan tidak tahu bila boleh dapat selagi tiada surat rasmi,” katanya.

Mohd.Nasir yang turut menghidap kencing manis sejak 15 tahun lalu, mempunyai dua anak yang masih belum bekerja berusia 16 dan 21 tahun.

Ujarnya lagi, harapannya hanya satu, jika kedua matanya telah pulih dia berharap boleh bekerja seperti sebelum diserang angin ahmar.

Orang ramai yang ingin membantu Mohd.Nasir boleh memasukkan wang ke akaun CIMB Bank 7613 4355 31 atas namanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat