MANDIRI kecam sekatan masuk Pengarah Eksekutif BERSIH ke Sabah, tuntut kerajaan negeri beri penjelasan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Pertubuhan MANDIRI mengecam tindakan Kerajaan Sabah yang didakwa menyekat kemasukan Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Asraf Sharafi, ke negeri itu, sambil menyifatkannya sebagai pencabulan hak asasi serta kebebasan rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Penyelaras MANDIRI, Wong KuKui, berkata sekatan tersebut dibuat atas arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, apabila Asraf dimaklumkan tidak dibenarkan memasuki Sabah pada 30 Jun lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu.

Menurut beliau, Asraf bukan individu asing di Sabah kerana telah menetap di negeri itu sejak 2008 ketika bergelar mahasiswa, berkahwin dengan anak jati Sabah serta mempunyai dua orang cahaya mata. Beliau juga dikatakan kerap berulang-alik antara Semenanjung Malaysia dan Sabah atas urusan kerja.

“Difahamkan beliau dikenakan Notis Amaran Sabah (NAS) selepas namanya dimasukkan ke dalam senarai larangan memasuki negeri itu,” katanya.

MANDIRI turut mendakwa tindakan itu bukan kes terpencil kerana sebelum ini aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza, juga pernah dikenakan larangan memasuki Sabah.

Menurut pertubuhan itu, walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi dalam urusan imigresen sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Imigresen 1959/1963, kuasa tersebut tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya tanpa asas yang kukuh.

MANDIRI merujuk kepada Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/1963 yang, menurut tafsirannya, memperuntukkan bahawa autonomi imigresen negeri tidak berkuat kuasa terhadap seseorang warganegara yang memasuki Sabah atau Sarawak semata-mata untuk menjalankan aktiviti politik yang sah.

Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan mengemukakan dua tuntutan kepada kerajaan negeri, iaitu membenarkan Asraf Sharafi memasuki Sabah dengan segera serta menarik balik sekatan dan menyenarai putih semua aktivis yang sebelum ini disekat daripada memasuki negeri berkenaan.

MANDIRI turut berpendapat bahawa selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan agenda reformasi, kerajaan perlu mengamalkan pentadbiran yang lebih terbuka terhadap pandangan dan kritikan daripada masyarakat.

Setakat ini, belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada Kerajaan Sabah atau pejabat Ketua Menteri berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh MANDIRI.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat