‘Berpuluh tahun nyanyi, tetapi nak beri RM500’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun sudah lebih tiga dekad bertapak dan membina nama gah di persada seni, vokalis kumpulan U.K’s, Amir kesal masih ditawarkan bayaran tidak setimpal dengan pengalaman serta kebolehannya.

Amir atau nama sebenar, Mohd Azmir Muhammad Yusof, 53, mengakui pernah ditawarkan serendah RM500 untuk suatu persembahan.

“Saya hairan ada pihak masih tidak hargai artis ‘senior’. Saya pernah terima tawaran mengarut dan tidak masuk akal. Sebagai contoh, RM500 untuk saya seorang.

“Kadang-kadang kadar bayaran itu jadi tidak berbaloi apabila lokasi ‘show’ jauh. Kenapa masih tawarkan kami harga sebegitu? Sedangkan, lagu-lagu saya diketahui ramai.

 

Amir dan anggota kumpulan U.K’s akan mengadakan Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun di IB selama dua hari mulai 17 Jun ini. Foto NSTP Aswadi Alias

 

“Ini umpama suatu penghinaan. Saya fikir mereka tidak hargai kita yang sudah berpuluh tahun dalam industri ini,” katanya kepada BH Online.

Tambah Amir yang pernah menyertai musim kedua program realiti, Gegar Vaganza (GV2), beliau tidaklah meminta bayaran terlampau tinggi, sebaliknya biarlah berpatutan.

“Ini bukan soal ‘demand’. Mereka kena tengok lagu yang disampaikan adalah lagu popular. Saya ada lebih 10 lagu popular. Jadi, bagi saya, penganjur acara sengaja mahu ambil kesempatan dengan memberi bayaran murah.

“Kalau untuk ‘show’ di sekolah atau seumpamanya, bolehlah bayar mengikut bajet yang ada. Tetapi kita menyanyi ikut harga yang diberi.

“Kalau hendak dengar atau nikmat persembahan sebenar, hadirlah ke konsert,” katanya ditemui ketika menjalani sesi latihan untuk Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun di One Scream Studio, Taman Melawati, Hulu Klang, baru-baru ini.

Amir dan kumpulannya akan mengadakan konsert mega buat julung kalinya di Istana Budaya (IB) selama dua hari mulai 17 Jun ini.

Mengulas lanjut mengenai konsert itu, Amir berkata, mereka giat berlatih agar dapat memberi persembahan terbaik.

“Orang tahu kami bukanlah muda seperti dahulu. Jadi, kami kena berusaha lebih untuk memberi yang terbaik.

“Bukan sahaja persediaan dalam aspek fizikal, kami sudah bersedia dari segi mental biarpun sedikit terganggu apabila melihat ada banyak konsert sepanjang Jun ini,” katanya.

Amir berkata, U.K’s menjadi kumpulan pertama yang menetapkan tarikh konsert, bulan ini.

“Selepas itu, muncul beberapa artis yang mahu membuat konsert dalam bulan sama. Kami tidak sangka perkara ini berlaku.

“Saya tidak nafikan, perkembangan ini sedikit sebanyak mengganggu jualan tiket. Saya risau tetapi semua ini adalah ketentuan Allah… Ada rezeki masing-masing. Takkan kita tidak mahu bagi artis lain konsert? Biar apa pun, kami kena teruskan,” katanya.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun anjuran Mac Training Centre Sdn Bhd dan RCD Concepts Sdn Bhd menyaksikan gabungan semula anggota asal U.K’s termasuk Rozdenil Toni sebagai pemain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (bes) dan Amiruddin Sharif (dram).

Mereka dibantu Mohd Rafi Shafie dan Ahmad Firdaus Mahmud yang menjadi pengarah muzik serta Mus Satira sebagai gitaris undangan selain kumpulan Mohram.

U.K’s akan mempersembahkan 25 lagu selama dua jam konsert berlangsung. Antara dendangan yang menjadi pilihan adalah Kau Satu-Satunya, Seksa, Sebak, Tergamak Kau, Kekasihku Di Menara, Di Luar Kemampuanku, Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun turut menampilkan segmen duet bersama komposer yang banyak menghasilkan lagu hit band berkenaan iaitu Saari Amri menerusi lagu Kita Sama Saja.

Tiket berharga antara RM111 hingga RM999 dan boleh didapati di http://ilassptickets.com.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat