Madani ke laut?

- Advertisement -

Pada tahun 1997 saya antara anak muda yang beratur panjang untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bukunya Anwar Ibrahim: The Asian Renaissance.

Secara ideanya renaissance merujuk kepada satu tempoh kebangkitan semula Eropah dari zaman gelap atau Zaman Pertengahan (Middle Ages).

Kurun ke-14 dianggap sebagai titik permulaan zaman kebangkitan semula Eropah ini sehinggalah kepada kurun ke-17. Pada masa ini berlaku banyak perkembangan sains dan teknologi di Eropah sehingga membolehkan mereka mula membentuk asas kuat dalam pemikiran, ekonomi dan perubatan.

Dari penghasilan mesin cetak (teknologi Guttenberg) sehinggalah kepada reformasi politik dan gereja, penemuan sains dan teknologi serta kemunculan falsafah pemikiran baharu dan sastera, telah cuba mengangkat nilai-nilai peradaban Eropah.

Walaupun zaman renaissance Eropah ini tidaklah seindah yang digambarkan, namun ia telah meletakkan asas yang kukuh kepada kemunculan revolusi perindustrian Eropah pada kurun ke-18.

Pada era 90-an Anwar sudah terkenal dengan idea-idea pemikiran falsafah seperti civil society atau masyarakat madani yang ketika itu masih merupakan perkara baharu kepada rakyat negara ini dan juga Asia.

Zaman tanpa internet, di mana idea dan perbahasan semasa masih terkawal dan beradab,  bergantung kepada media cetak dan elektronik, Anwar mempunyai pasukan media yang cekap di dalam dan luar negara.

Anwar berbeza dengan kebanyakan ahli politik kerajaan ketika itu. Ketika sebahagian besar masih dengan cara kerja politik lama hanya memberi perkhidmatan kepada rakyat dan menyertai perbalahan politik kontroversi, Anwar mengimbanginya dengan wacana intelektual di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Anwar, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, ada kebolehan bercakap dalam dua bahasa iaitu, bahasa rakyat dan bahasa intelektual. Pada era 90-an, ketika Mahathir memberi laluan kepada Anwar menguasai parti dan kerajaan, Anwar membentuk naratif politik yang sangat luar biasa.

Selain mengukuhkan kedudukannya dalam UMNO dan Kerajaan, Anwar turut membina jaringan hubungan yang erat dengan organisasi masyarakat (NGO) tempatan dan luar negara.

Ketika ahli politik mengabaikan NGO seperti kumpulan sasterawan, pelajar, tenaga akademik dan penulis, Anwar merapati dan berkawan dengan mereka. Hasilnya, Anwar menguasai naratif rakyat.

Beliau menguasai naratif dalam pelbagai perspektif. Orang miskin melihat Anwar sebagai pejuang rakyat; dalam kalangan masyarakat Melayu pertengahan, terpancar imej pemimpin Islam Anwar dalam kalangan sasterawan dan pengamal media, Anwar adalah tokoh politik yang boleh menyuburkan kebebasan dan kekayaan dunia penulisan.

Manakala di peringkat antarabangsa Anwar adalah tokoh reformasi politik dan ekonomi Malaysia yang mendapat sokongan sebahagian besar NGO yang berkaitan Civil Society ketika itu.

Sebenarnya adalah sangat sukar untuk seseorang yang naik melalui sebuah parti konservatif dan feudal seperti UMNO boleh menjadi kekasih parti; rakyat yang sederhana, liberal dan Islamik; dan Barat sekaligus.

Ia sesuatu yang sukar dilakukan hatta oleh Dr Mahathir sendiri. Namun Anwar mampu melakukannya pada era 90-an.

Bagaimanapun menjelang enam bulan pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri, Anwar berhadapan krisis yang sangat serius. Imej puluhan tahun beliau sebagai tokoh pemimpin madani sedikit demi sedikit sedang meruntuh berhadapan kehendak nafsu politik.

Dari agihan kekayaan negara sehinggalah kepada penganjuran rumah terbuka hari raya Perdana Menteri; dari pengurusan eksekutif sehinggalah perundangan, kerajaan ini belum menampakkan apa-apa yang bersifat madani.

Organisasi seperti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini bertanggungjawab menerangkan dasar-dasar kerajaan kini telah menjadi sebahagian jentera parti pemerintah.

Rasuah dan skandal – walaupun belum dibuktikan sepenuhnya – sudah menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan madani. Ia jauh lebih hodoh berbanding pentadbiran-pentadbiran sebelum ini.

Usaha menutup kebobrokan ini dengan mengenakan dakwaan dan tuduhan ke atas musuh-musuh politik kerajaan tidak akan memadanikan kerajaan ini.

Setakat ini pentadbiran madani ini hanya indah khabar dari rupa dan sedang menuju ke laut luas.

Ia masih mengulangi politik cara lama – berasaskan permusuhan dengan pembangkang, penyisihan pengkritik dan pelaksanaan dasar-dasar negara yang bersifat politik partisan.

Pada usia 75 tahun, Anwar tidak sepatutnya memikirkan menyambung kuasanya, tetapi lebih kepada meletakkan nama baik dalam sejarah negara.

*Artikel ini diterbitkan buat pertama kalinya dalam Sinar Ahad, 30 April 2023

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat