Kerajaan tidak wajar layan ketamakan Telko

- Advertisement -

Merujuk kepada laporan FMT yang disiarkan pada 23 April 2023 yang berjudul “Let telcos launch own 5G networks, gov told” (Terjemahan: Kerajaan diminta benarkan syarikat telekomunikasi lancar rangkaian 5G sendiri).

Saya amat terkejut membaca artikel yang agak dangkal dalam membincangkan keperluan membenarkan satu lagi pembekal rangkaian 5G bagi mengelak mengelakkan berlakunya monopoli – tidak mustahil ia ditulis oleh pihak yang berkepentingan.

Bagi mereka yang mengikuti perbincangan mengenai perkara ini atau mereka yang terlibat secara langsung sebagai pemain industri telekomunikasi tempatan (Telko), sudah tentu akan menyedari bahawa 5G Singles Wholesale Network (SWN) [Rangkaian Pemborongan Tunggal] yang ditetapkan oleh kerajaan ketika ini bukanlah satu monopoli.

Digital Nasional Berhad (DNB) tidak bersaing dengan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (Mobile Network Operator – MNO) dalam memberi khidmat 5G. SebaliknyaMNO yang mahu menawarkan akses 5G perlu melanggan laluan infra yang disediakan oleh DNB.

Dengan kata lain DNB hanya bertanggungjawab menyediakan lorong yang saksama, cekap dan diselenggara dengan baik untuk semua  MNO yang mahu menawarkan perkhidmatan 5G.

Dengan memberikan tanggungjawab ini kepada DNB, ia akan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terutama pengguna.

Model SWN yang diguna pakai oleh Malaysia ini telahpun mendapat pujian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pemerhati industri dari Perancis, yang menyifatkan bahawa ini merupakan satu solusi unik kepada permasalahan penyampaian 3G dan 4G sebelum ini – yang mengambil masa terlalu panjang, berdekad lamanya.

Kegagalan pelaksanaan 4G oleh Telko sangat jelas sehingga memaksa Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa, memperkenalkan pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi mengatasi ketiadaan akses 4G di luar bandar dan pendalaman.

Jendela merupakan pelan induk ketersambungan nasional berimpak tinggi yang direka untuk menyelesaikan masalah capaian internet 4G secara tuntas terutama di kawasan luar bandar dan pengalaman.

Mengapa kerajaan terpaksa memperkenalkan dasar ini dalam memastikan capaian 4G berjaya? Ini kerana Telko yang diberi ruang dan peluang melaksanakan sendiri infra 4G telah mengabaikan kawasan yang kuruag menguntungkan.

Sebagai menteri yang menjadi Ahli Parlimen di kawasan luar bandar, Annuar Musa memahami masalah kecuaian Telko ini. Sungguh pun Parlimen Ketereh yang diwakilinya berada dalam kedudukan sangat dekat dengan Kota Bharu, Kelantan, namun capaian internet 3G dan 4G sangat daif.

Pada Jun 2020 kita didedahkan dengan kisah Vevenoah Mosibin, 18 tahun, seorang pelajar sarjana muda dari UMS, terpaksa memanjat pokok di kampung halamannya di Pitas, Sabah untuk mendapatkan capaian internet dengan lebih baik bagi melaksanakan peperiksaan secara dalam talian.

Kemudian muncul kisah seorang anak muda Anis Arina Aqilah Roslee, pelajar semester 6 Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tinggal di Telupid, Sabah terpaksa menggunakan peranti daripada dalam bonet kereta semata-mata untuk menghadiri kelas pembelajaran jarak jauh.

Kisah dan aduan kesukaran akses internet mudah alih di luar bandar muncul bertalu-talu, namun tidak ada satu pun Telko yang mahu bertanggungjawab atau mengambil inisiatif untuk membantu anak-anak ini.

Mereka seolah-olah cuci tangan membiarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan kerajaan menerima kecaman walaupun ia adalah kelemahan Telko.

Semua aduan dan permasalahan ini menunjukkan telko gagal memenuhi keperluan asas untuk memberikan perkhidmatan capaian internet di banyak kawasan di Malaysia.

Keengganan Telko yang mendapat spektrum 4G untuk melabur dalam infrastruktur untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar atas alasan margin keuntungan yang sedikit, adalah alasan jahat untuk menutup sikap tamak dan haloba mereka.

Lebih parah lagi, dengan perkhidmatan yang sebegitu teruk ini, mereka masih lagi berani untuk meminta sebahagian daripada peruntukan 5G yang telah dirancang oleh Kerajaan Malaysia.

Justeru saya sangat merasa aneh dengan slogan “anti-monopoli” dalam isu 5G ini. Berbanding memberi spektrum 4G kepada beberapa Telko, DNB menyediakan platform sama adil kepada semua MNO yang mahu menawarkan akses 5G tanpa perlu membina infra 5G atau menyewa infra 5G dari Telko lain yang turut menjadi pengendali rangkaian mudah alih.

Maka MNO yang tidak mempunyai modal membangunkan infra 5G secara menyeluruh turut beroleh akses yang sama dengan MNO yang mempunyai kemampuan menyediakan infra 5G.

Di sebalik semua “drama” kerakusan Telko, pujian harus diberikan kepada Menteri-Menteri Komunikasi sebelum ini dari Gobind Singh Deo, Saifuddin Abdullah, Annuar Musa dan Menteri Kewangan  Tengku Zafrul yang cekal dan untuk menentang para pelobi telekomunikasi dan telah berjaya melancarkan inisiatif 5G melalui DNB untuk rakyat.

Lawan menteri baharu

Baru-baru ini Menteri Komunikasi & Digital, YB Fahmi Fadzil telah menyatakan bahawa sesiapa pun tidak boleh melobi melalui media dalam hal berkenaan inisiatif 5G ini.

Namun begitu, saya percaya Telko yang berkepentingan telah mula menggerakkan lobi secara terbuka bagi mengenakan tekanan kepada Menteri dan mengubah pandangan masyarakat.

Bahan-bahan kempen kepada perubahan dasar pelaksanaan 5G menggunakan organisasi dalam dan luar negara mula membanjiri media online dan bercetak.

Antara yang menukar perubahan akibat lobi ini ialah Global System for Mobile Communications Association (GSMA). Sebelum ini, GSMA yang merupakan sebuah organisasi yang mewakili kepentingan pengendali mudah alih dan industri mudah alih dunia, menyokong model SWN DNB Malaysia.

Namun kini, Julian Gorman, Ketua GSMA Asia Pasifik, berkempen bahawa Putrajaya perlu mengambil pendekatan yang lebih fleksibel, kononnya untuk mempertingkatkan lagi inovasi dan pembangunan jaringan secara menyeluruh.

Sebagai warganegara Australia, Julian Gorman mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam terhadap sikap dan perilaku Telko negara ini dalam menyantuni pengguna luar bandar.

Sikap sombong dan tamak syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia ini wajar dihentikan. Kita telah terlalu lama membiarkan syarikat-syarikat ini bermaharajalela di negara kita, kini tiba masanya untuk rakyat Malaysia bangkit dan menuntut hak kita demi mendapatkan perkhidmatan capaian internet yang lebih baik bagi seluruh anak-anak Malaysia, tidak kira di mana pun mereka berada.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat