Dilema teknologi 5G Malaysia

- Advertisement -

Teknologi 5G merupakan anjakan digital yang amat diperlukan oleh negara, atas pelbagai faktor. Antaranya termasuklah kelewatan dalam pelaksanaan 4G Malaysia – kerana keengganan MNO untuk melabur dalam pembinaan lebih banyak menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan di kawasan terutamanya di luar bandar.

Setelah berpuluh tahun pelaksanaan 2G, 3G dan 4G yang diberikan sepenuhnya kepada MNO, bukan sekadar soal liputan, tetapi soal inovasi dan kadar guna pakai rangkaian terutama di kawasan luar bandar Semenanjung, Sabah dan Sarawak terus rendah.

Kos pembinaan dan penyelenggaraan yang tinggi menjadi punca utama permasalahan ini, dan syarikat telekomunikasi yang berpaksikan keuntungan kekal enggan melabur di kawasan yang beri keuntungan rendah.

Dengan ini, Kerajaan telah mewujudkan Digital Nasional Berhad (DNB), yang berfungsi sebagai rangkaian pemborong tunggal bagi 5G negara. DNB dipertanggungjawabkan untuk memastikan infrastruktur 5G bagi seluruh negara dibina dan diselenggara dengan baik, supaya syarikat telekomunikasi tidak perlu risau akan kos penyelenggaraan dan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada permintaan pengguna. Menerusi DNB, pelaksanaan 5G sudah bermula seawal 2021 lalu.

Malaysia – negara paling banyak kebocoran data

Masa depan dan potensi % untuk negara adalah amat luas – dianggarkan 96.8% atau lebih 31.3 juta rakyat Malaysia merupakan pengguna internet yang berdaftar. Menurut laman web Statista, Malaysia merupakan antara negara yang paling aktif di media sosial, dengan lebih 30.8 juta pengguna aktif di pelbagai platform, dan berkembang pada kadar 8% setahun. Dengan perkembangan ini, pengguna Malaysia turut berdepan dengan pelbagai risiko kebocoran data, penipuan dan jenayah lain menerusi kelemahan rangkaian mobil.

Pada 2021 sahaja, kebocoran data berlaku di laman web utama negara termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Maybank dan Astro Malaysia. Kesemua ini mewujudkan kebimbangan tentang persediaan keselamatan siber negara bagi melaksanakan rangkaian 5G.

Malah, 73% nombor telefon bimbit di Malaysia bocor atau dijual kepada sindiket penipuan, bersamaan lebih 21 juta rakyat Malaysia yang mempunyai nombor telefon didaftarkan dengan syarikat telekomunikasi tempatan. Setakat ini, beberapa rancangan termasuk pindaan terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dalam perbincangan. Bagaimanapun, masih tiada pelan untuk mempertanggungjawabkan MNO dalam kes kebocoran data ini.

Skandal Huawei dan pelaksanaan 5G

Antara pelaku industri terbesar 5G global, Huawei telah terpalit dengan pelbagai skandal melibatkan pelbagai buah negara, dari skandal pengintipan kepada amalan perniagaan tak beretika, sehinggakan telah dilarang untuk beroperasi di 17 buah negara di seluruh dunia.

Antaranya termasuklah isu keselamatan rangkaian di Jerman, yang terpaksa melakukan penggantian komponen rangkaian telekomunikasi yang berasal dari China disebabkan wujud kebimbangan risiko keselamatan yang berasas.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) turut mendakwa Huawei membantu kerajaan Iran mengintip rakyatnya sendiri.

Huawei juga didakwa terlibat dalam program pemantauan etnik Uighur di Xinjiang, China. Firma itu dikatakan menghasilkan aplikasi dan teknologi facial recognition bagi mengenalpasti warga Uighur yang kemudiannya dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk dihantar ke kem tahanan.

Gergasi telekomunikasi Eropah, Qualcomm turut mendakwa Huawei menjadi punca kerugian syarikat berkenaan apabila mereka telah didenda 242 juta euro (AS$259 juta) kerana menjual mikrocip dengan harga bawah pasaran antara 2009 dan 2011 kepada Huawei dan ZTE bagi memberi tekanan kepada syarikat British, Icera.

Di Afrika Selatan, Huawei sedang menghadapi tindakan undang-undang kerana melanggar peraturan mengenai pengambilan pekerja tempatan dan perintah untuk mengubah amalan syarikat, seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Buruh Afrika Selatan. Dianggarkan kira-kira 90% daripada pekerja syarikat itu adalah warganegara China, melanggar peraturan “kesaksamaan pekerjaan” yang menetapkan had 40%, kata Jabatan berkenaan, berdasarkan audit pada tahun 2020. Firma berkenaan turut disaman sebanyak R1.5 juta, iaitu 2% daripada hasil pulangan perniagaan bagi tahun berkenaan.

Terdapat pelbagai pandangan lagi mengenai pelaksanaan 5G negara, implikasi serta risikonya kepada pengalaman dan keselamatan pengguna, serta keselamatan dan kedaulatan negara, dan juga risiko perniagaan dengan vendor yang penuh kontroversi.

Pihak kerajaan seharusnya mengamalkan prinsip berkecuali dan pro-rakyat di dalam dasar pelaksanaan 5G, kerana pada akhirnya yang terpaksa menanggung beban dan menikmati manfaat teknologi ini adalah 33 juta orang rakyat Malaysia di seluruh negara.-SUARATV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat