Pensijilan UN-R95: Axia Selamat, Tidak Dipanggil Semula – PERODUA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) memberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu Co Ltd membuat pendedahan mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ ujian.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata Daihatsu telah mengeluarkan kenyataan media pada 28 April lalu berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model termasuklah Perodua Axia

Katanya, Daihatsu telah dilantik dan dipertanggungjawab oleh PERODUA untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia Baharu di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.

“Sebaik sahaja kami menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, kami telah menghubungi pihak terbabit serta merta untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian.

“Ini bermakna, Perodua Axia Baharu adalah selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat oleh PERODUA dan kami juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan yang kami hargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, PERODUA memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada pelanggan mereka berhubung perkara ini dan memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional.

“Kami akan terus memantau situasi ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.

“PERODUA sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan kami dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan kami dalam menjangkaui setiap jangkaan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan kira-kira 11,800 Perodua Axia berkemungkinan terjejas dengan insiden pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu Motor Co Ltd (Daihatsu).

Menurut laporan berita oleh Reuters, sekutu Toyota Motor Corporation (Toyota), Daihatsu telah memalsukan sebahagian daripada ujian keselamatan perlanggaran sisi pintu yang dijalankan untuk lebih 88,000 kereta kecil, yang kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota.

Dikatakan kemasan pintu pada kenderaan yang terjejas telah diubah suai dengan “takuk” untuk meminimumkan risiko dalam ujian bahagian dalam pintu boleh pecah dengan bucu tajam dan menyebabkan kecederaan kepada penumpang apabila beg udara sisi digunakan dalam kemalangan. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat